Wednesday 14 December 2011

Al Imam Abu Hanifah

Al-Imam Abu Hanifah
Namanya ialah Nukman bin Thabit bin Zauthi.
Dilahirkan di Bandar Kuffah, Iraq pada tahu 80 H/699 M.
Beliau dihukum penjara kerana enggan menjadi hakim dan wafat di dalam penjara semasa pemerintahan Abu Ja`far al-Mansur akibat diracuni pada umur 70 tahun.

PELAJARAN DAN PENDIDIKANNYA:

Sejak kecil lagi beliau cenderung kepada pelajaran, rajin belajar mana-mana ilmu yang belum diketahuinya dan rajin mengajar mana-mana ilmu yang telah diketahuinya dan beliau suka berbahasa untuk mencara kebenaran, baik ilmu agama mahupun ilmu-ilmu am.

Semasa belajar tidak menghadapi masalah kewangan kerana ayahnya seorang saudagar, apa lagi masa kelahirannya dengan Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam Cuma 69 tahun. Dengan sebab itu beliau sempat menemui beberapa orang sahabat Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam yang masih hidup, walaupun telah tua, ini amatlah menggembirakan hati Imam Abu Hanifah. Dengan itu beliau dapat menerima hadith Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam melalui satu perantaraan antara sahabat-sahabat iaitu Sayyiduna Anas bin Malik, Abdullah bin Aufa dan lain-lain. Ada riwayat mengatakan ayah Imam Abu Hanifah pernah bertemu dengan Sayyiduna Ali bin Abi Thalib dan Sayyiduna Ali mendoakannya.

Selain daripada berguru dengan sahabat-sahabat Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam, Imam Abu Hanifah banyak belajar dengan Tabi`in dan para ulama yang ramai pada masa itu. Hingga ada yang menganggarkan kira-kira 200 orang ulama besar termasuk sahabat dan tabi`in yang menjadi guru kepada Imam Abu Hanifah. Antara guru yang paling lama mengajarnya iaitu Imam Hammad bin Sulaiman, kerana terlalu kasih kepada gurunya itu Imam Abu Hanifah menamakan anak sulungnya dengan nama Hammad.

KECERDIKANNYA:

Al-Imam al-Syafi`e bila ditanya tentang Imam Abu Hanifah, dijawabnya: “Tidak mungkin ada perempuan yang dapat melahirkan anak lebih cerdik dan cergas otaknya lebih daripada Imam Abu Hanifah” dan pada kali yang lain pula Imam al-Syafi`e berkata: “Umat Islam seluruhnya tentang ilmu fiqh adalah keluarga dan anak buah Imam Abu Hanifah”.
Imam Malik pula ditanya tentang Imam Abu Hanifah, dijawabnya: “Aku pernah bertemu beliau, beliau seorang lelaki yang bijak. Jika kamu berkata kepadanya supaya tiang ini dijadikan emas, nescaya beliau dapat memberi alasannya oleh kebijaksanaannya bercakap”. Beliau bersembahyang sepanjang malam sehingga ada orang mengatakan Imam Abu Hanifah sembahyang Subuh dengan wudhuk Isyaknya selama empat puluh tahun.

Beliau mempunyai segala imu pengetahuan yang mustahaka bagi umat Islam di zamannya. Beliau menghafal al-Quran dan membacanya dengan qiraat Ashim dan banyak menghafal hadith Nabi, pandai ilmu Nahu, Adab, Syaer dan berbahas, mahir dalam ilmu usuluddin, Imam mujtahid dan menjadi Imam dalam ilmu fiqh. Ilmu yang diperolehinya diajarkan pula kepada orang ramai. Kebanyakkan ilmu pengetahuannya dikumpulkan oleh murid-muridnya dalam berbagai kitab yang besar-besar dan antara yang terbesar ialah kitab al-Mabsuth iaitu sebesar-besar kitab fiqh dalam mazhab Hanafi mengandungi 15 jilid dan 30 juzuk. Mazhabnya berkembang luas terutama di timur tengah.

No comments: