Wednesday 14 December 2011

Al Imam Al Syafi'i

Al-Imam Syafi`e:
Namanya ialah Muhammad bin Idris.
Dilahirkan di Palestin pada tahun 150 H/767 M.
Digelarkan sebagai al-Syafi`e sempena nama datuknya.

PELAJARAN DAN DIDIKANNYA:

Al-Imam al-Syafi`e mempelajari ilmu fiqh dengan Imam Muslim al-Zanji iaitu guru besar dan Mufti Makkah pada masa itu. Lamanya beliau belajar dengan Imam besar ini hingga diakui oleh gurunya bahawa beliau boleh mengajar dan boleh berfatwa tentang hukum-hukum agama. Dalam ilmu hadith pula beliau belajar dengan Sufian bin Uyainah iaitu ulama hadith yang terbesar di Makkah, manakala ilmu al-Quran beliau belajar dengan Imam Ismail bin Qusthanthin. Seterusnya belaiu mempelajari berbagai-bagai ilmu kepada beberapa orang guru di berbagai-bagai negeri. Kecerdikan dan kuat hafalannya terserlah, ketika berusia 10 tahun beliau tahu membaca kitab Muwatta’ karangan Imam Malik yang masyhur itu dan menurut Fakhr al-Razi, guru Imam Syafi`e banyak tetapi yang masyhurnya ialah 19 orang iaitu 5 di Makkah, 6 di Madinah, 4 di Yaman dan 4 di Iraq.

KUAT HAFALAN DAN TERANG HATI:

Kuatnya hafalan dan terangnya hati Imam Syafi`e memanglah luar biasa, ditambah lagi rajin belajar dan hemahnya terlalu kuat, memudahkan beliau mendapat berbagai-bagai ilmu pengetahuan seperti al-Quran, al-Hadith, fiqh, usul fiqh, bahasa, kesusasteraan, syaer, sajak dan lain-lain. Kekuatan ingatannya bukan sahaja sapat menghafal al-Quran sewaktu usianya masih muda, malah hadith-hadith dan buku-buku yang payah dibelinya atau sempat disalinnya, habis dihafalnya.

Satu masa bilik Imam Syafi`e telah penuh dengan tulang-tulang dan kertas-kertas catitan ilmu hingga payah baginya berbaring dan bererhat, hendak dibuangkan kertas-kertas catitan itu semuanya ilmu yang berharga belum dibukukan lagi. Beliau mengambil keputusan dan berazam menghafalkannya dan duduklah ia beberapa lama jarang keluar kerana menghafal catitan-catitan itu, akhirnya sedikit demi sedikit kertas itu dibuangnya hingga kosong biliknya kerana semua catitan itu habis dihafalnya.

Beliau pernah menceritakan masa mudanya pernah bermimpinkan Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam.Dalam mimpinya itu Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam bertanya siapa engkau wahai anak? Syafi`e menjawab aku Muhammad dan aku dari keturunanmu ya Rasulullah.mari hampir kepadaku, kata Nabi. Imam Syafi`e terus menghampirinya. Nabi menyapu muka, mulut dan bibirnya, lalu baginda bersabda: “Pergilah engkau moga-moga Tuhan memberkati hidupmu". Imam Syafi`e segera bangun dan teringatkan mimpinya itu dan dari masa itulah Imam Syafi`e merasakan satu kekuatan menghafal bertambah-tambah hingga kalau ada rasanya catitan setinggi bukit dapat dihafalnya, seolah-olah mimpinya itu kunci bagi otaknya.

Beliau hidup dengan gaya yang amat sederhana dan pernah beliau berkata” “Selama 16 tahun aku makan tidak pernah kenyang betul, kerana kenyang memberatkan badan, membekukan hati, menumpulkan fikiran dan membanyakkan tidur”.
Beliau pantang mendengar ada ulama’ besar. Bila beliau mendengar berita kebesaran Imam Malik bin Anas hatinya terlalu cinta untuk menemuinya. Satu hari peluang itu diperolehnya dan gurunya pula menggalakkannya, ketika itu beliau berusia 20 tahun. Beliau pergi berjumpa dengan Imam Malik dan berguru dengannya dan beliau juga merantau ke Iraq, Parsi, Yaman dan Mesir kerana menemui ulama besar dan belajar dengan mereka dan beliau tidak berhenti-henti mengajar ketika berada di Mesri dan disitulah beliau wafat ketika berusia 54 tahun kerana mengidap penyakit buasir.

KATA-KATA PARA ULAMA’ TENTANG IMAM AL-SYAFI`E:

Masa hidup, Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam pernah bersabda:
“Ada seorang alim Quraisy, ilmunya memenuhi muka bumi ini”. Ulama’ mentafsirkannya bahawa orang yang dimaksudkan itu adalah al-Imam al-Syafi`e. Al-Imam Malik berkata: “Tidak akan ada lagi keturunan Quraisy lebih pandai daripada al-Imam al-Syafi`e”. Al-Imam Ahmad bin Hanbal berkata: “Aku belum faham tentang nasikh dan mansukh hadith kecuali selepas belajar dengan al-Imam al-Syafi`e”. Dan Imam Ahmad berkata lagi: “Wahai anakku, Imam al-Syafi`e itu seperti matahari bagi dunia ini dan seperti kesihatan bagi tubuh, fikirlah adakah gunanya selain daripada dua ini?”. Imam Muhammad bin al-Hakam berkata: “Aki belum berjumpa seorang yang lebih mengetahui tentang usul fiqh selain al-Syafi`e dan aku belum berjumpa seseorang lebih mengetahui cerdik akalnya, lebih cergas fikirannya, lebih cermat amalannya dan lebih fasih lidahnya daripada al-Imam al-Syafi`e”.

Beliau banyak mengarang kitab antaranya al-Risalah, al-Umm, al-Jami’, al-Saghir, al-Jami’ al-Kabir dan lain-lain. Mazhabnya tersebar meluas seluruh dunia.

No comments: