Thursday 1 December 2011

Haram ke atas orang yang berjunub, haid dan nifas


Haram ke atas orang yang berjunub(berhadas besar) itu beberapa perkara:

     1)      Haram sembahyang sama ada sembahyang fardhu[1] atau sunat.

2)      Haram membaca[2] ayat Al Quran yang tidak dinasakhkan[3] tilawahnya(bacaannya) walau satu huruf sekalipun sama ada di baca dengan perlahan(sekadar didengar telinga kita) atau kuat.

3)      Haram menyentuh Al Quran[4] dan menanggung (membawa) Al Quran.

4)      Haram tawaf sama ada tawaf fardhu(tawaf ifadhah) atau tawaf sunat.

5)      Haram diam(berhenti) di dalam masjid walaupun kurang satu saat sekalipun[5].

6)      Haram membaca khutbah jumaat[6].

7)      Haram sujud tilawah dan sujud syukur.

Haram ke atas perempuan haid dan nifas itu beberapa perkara:

1)      Semua perkara yang diharamkan bagi orang yang berjunub.

2)      Haram lalu di dalam masjid jika TAKUT atau YAKIN[7] akan titik darahnya.

3)      Haram puasa fardhu dan sunat.

4)      Haram suami mentalaqkan isterinya dengan syarat-syarat yang tertentu disebut di dalam bab At talaq.

5)      Haram mubasyaroh(bersentuh kulit) antara pusat dan lutut sama ada dengan jimak atau lain daripada jimak[8].




[1]  Sama ada fardhu ain atau fardhu kifayah.

[2]  Yang dikehendaki membaca di sini adalah mengeluarkan suara membaca Al Quran. Dan TIDAK HARAM baca Al Quran di dalam hati.

[3]  Tidak HARAM membaca ayat quran yang dinasakhkan(tidak dibacakan) tilawahnya. Dan TIDAK HARAM membaca kitab Taurat dan kitab Injil bahkan TIDAK MAKRUH membacanya.

[4]  Termasuk di dalam HARAM menyentuh juga adalah ayat Al Quran yang terdapat pada sesuatu benda lain seperti  ada di dalam frame gambar serta ayat Al Quran itu memenuhi di dalam kawasan frame tersebut, maka frame itu juga HARAM disentuhnya. Dan jika kertas Al quran itu bercerai(terkoyak) daripada asalnya, maka jika kertas yang bercerai itu jika dilihat sekira-kira tidak lagi dipanggil SEBAHAGIAN daripada Al Quran, maka TIDAKLAH HARAM menyentuhnya.

[5]  Jika lalu di dalam masjid dari satu pintu dan keluar ke pintu yang lain TIDAKLAH HARAM bahkan TIDAK MAKRUH pada Qaul yang Asoh. 

[6]  Haram baca rukun-rukun khutbah jumaat. Adapun baca khutbah yang selain daripada khutbah jumaat maka TIDAK HARAM seperti khutbah hari raya, khutbah gerhana matahari dan sebagainya.

[7]  Termasuk juga dlm kategori yakin adalah syak, zan(sangkaan kuat di hati) dan waham(sangkaan yg sedikit di hati). Maka haram lalu masjid dgn demikian yg tersebut. Kalau yakin TIDAK TITIK darahnya maka MAKRUH sahaja lalu. Dan yang dikendaki dgn “ LALU” di sini adalah lalu dari satu pintu ke suatu pintu yang lain. Jikalau lalu dari satu pintu dan keluar ke pintu yang SAMA maka HARAM juga kerana menempati orang yang berhenti di dalam masjid.

[8]  Kata qil(pendapat yg dhai’f-lemah) TIADA HARAM melainkan  bersetubuh.

Hasil kutipan daripada kitab jawi, Matla’ul Badrain, karangan Syeikh Muhammad bin Ismail Daud Al Fathoni ( halaman 27 dan 28) dan mendengar syarahan daripada guru mulia, Ustaz Aziz Lubuk Tapah. Semoga bermanfaat. Allahua’lam

No comments: