Wednesday 14 December 2011

Al Imam Ahmad Bin Hanbal

Al-Imam Hanbali:
Namanya ialah Ahmad bin Hanbal.
Dilahirkan di Baghdad pada tahun 164H/780 M.
Ayahnya meninggal dunia ketika beliau masih dalam kandungan ibunya.

PELAJARAN DAN PENDIDIKANNYA:

            Kebetulannya ramai ulama besar berada di Baghdad, maka ini merupakan suatu kesempatan bagi Imam Ahmad mempelajari berbagai cabang ilmu pengetahuan seperti ilmu al-Quran, Hadith, Tasawwuf, Bahasa, Falsafah dan ramai pendita-pendita dari berbagai cabang ilmu dibantu pula kecerdasan otaknya yang luar biasa dan keazamannya yang kuat serta rajin belajar dan mencari guru di mana ada orang pandai, disitulah ada Imam Ahmad belajar. Hingga berumur 16 tahun beliau masih menetap di Baghdad. Selepas itu beliau merantau ke Kuffah, Basrah, Syam, Yaman dan lain-lain negeri.

Al-Imam Abu Siraj pernah berkata: “Aku sentiasa menjaga dan membelanjakan anak-anakku belajar dan menyerahkannya kepada para ulama yang terkenal supaya anakku mendapat pelajaran yang baik. Tetapi aku hairan dengan anak yatim iaitu Imam Ahmad bin Hanbal itu walaupun serba kekurangan, dengan senang dapat mengalahkan anak-anakku. Sekali pandang anak yatim itu mengejar ilmu, sekali-kali kita melihat ilmu pengetahuan sengaja mengejarnya kerana dalam masa yang singkat beliau telah menjadi alim yang terkenal di Baghdad. Setelah orang ramai tahu pemuda ini alim, tetapi beliau masih sibuk belajar dan belajar. Sehingga orang bertanya kepadanya: “Hingga bilakah agaknya tuan baru dapat berhenti belajar? Sedangkan tuan telah alim”. Dengan pantas beliau menjawab: “Hingga ke liang lahad akan aku bawa botol dakwatku ini”.

Di mana-mana boleh kedengaran orang bercakap-cakap tentang ulama’ muda Imam Ahmad bin Hanbal ini,bukan sahaja orang-orang awam malah para ulama turut memuji-muji tentang kealiman tokoh muda ini. Al-Syeikh Ahmad al-Razi berkata: “Aku belum berjumpa orang yang berambut hitam lebih hafal hadith-hadith nabi dan lebih fakih daripada Imam Ahmad bin Hanbal". Dan gurunya al-Imam al-Syafi`e pula berkata: “Al-Imam Ahmad bin Hanbal merupakan ulama’ besar tentang ilmu hadith, ahli tentang ilmu fiqh, ahli tentang faqar kepada Allah, ahli tentang zuhud, ahli tentang warak dan ahli tentang sunnah Nabi sallallahu`alaihi wasallam".

Al-Imam al-Syafi`e berkata lagi: “Saya keluar dari Baghdad dan saya tidak meninggalkan di kota itu seorang pun yang lebih pandai tentang hukum-hukum agama, lebih jauh daripada pengaruh kebendaan, lebih cermat tentang hukum, lebih teliti tentang menjaga diri daripada perbuatan yang salah dan lebih pandai tentang hukum agama selain daripada al-Imam Ahmad bin Hanbal.

GURU-GURU IMAM AHMAD BIN HANBAL:

Beliau seperti juga al-Imam al-Syafi`e suka belajar dan mencari guru kerana itu guru-gurunya sangat ramai dan beliau sempat berguru dengan al-Imam al-Syafi`e ketika berkunjung ke Baghdad. Al-Imam Ahmad sangat menghormati guru-gurunya bukan sahaja ketika beliau masih muda tetapi ketika beliau menjadi ulama’ besar bahkan lebih besar daripada gurunya. Beliau tetap menghormati gurunya seperti biasa. Di mana-mana majlis yang dihadiri jika terdapat gurunya di situ beliau tidak akan bercakap banyak dan sentiasa tunduk, walaupun gurunya memandangnya lebih alim daripada dirinya, menghormati beliau sepenuhnya sebagai ulama besar. Satu ketika beliau terkena sakit, al-Imam al-Syafi`e gurunya datang menziarah, dari jauh setelah dipandangnya al-Imam al-Syafi`e, dalam keadaan keuzuran dia terus berkemas menyonsong al-Imam al-Syafi`e, sesampainya di rumah didudukkan di tempatnya dan dia duduk di bawah dan tatkala al-Imam al-Syafi`e hendak berangkat balik dihantar gurunya hingga duduk betul di atas unta dan diiringinya hingga sampai ke rumah.

KARANGAN DAN MAZHABNYA:

Al-Imam Ahmad bin Hanbal belajar hadith sejak kecil lagi. Dikatakan beliau telah menghafal hingga satu juta hadith dan kitab hadithnya al-Musnad berisi 40 000 hadith iaitu pilihan daripada 750 00 hadith dan banyak lagi kitabnya, antaranya ialah kitab tafsir al-Quran, kitab Nasikh dan Mansukh dan lain-lain. Mazhabnya tersebar di timur tengah.

No comments: