Friday 2 December 2011

Hukum Talaffuz niat sebelum solat


Melafazkan niat dalam suatu ibadah adalah ibadah wajib pernah dilakukan oleh Rasulullah ketika melaksanakan ibadah haji dan umrah. Hadis tersebut adalah
عن أنس رضي الله عنه قال: سمعتُ رسولَ الله صلى الله عليه وسلم يقول: لَبَّيكَ عُمْرةَ وحَجاَّ     [رواه مسلم]
“ Dari Anas berkata: Saya mendengar Rasulullah mengucapkan: Labbaika,aku sengaja mengerjakan umrah dan haji”.

Mazhab Syafi’e:
Imam Ibn Hajar al-Haitami mengatakan di dalam Tuhfah, bahawa lafaz Usholli ini diqiaskan kepada haji. Oleh itu, ulama’ Syafi’iyyah mengatakan SUNAT untuk melafazkan niat pada semua ibadah. Bagi mereka, perbuatan Rasulullah bertalaffuz ketika mengerjakan umrah dan haji di dalam hadis di atas diqiaskan kepada semua ibadah lain.

Imam Nawawi menyatakan di dalam kitabnya Minhaj ath- Tholibin, Bab sifat As-Solah[ms 9]:
“ Niat itu dengan hati dan dimandubkan(disunatkan) berlafaz sebelum takbiratul ihram”.

Imam Ramli menyebutkan dalam kitabnya Nihayah al-Muhtaj[1/437]:
ويُندَبُ النُطْقُ بالمَنْوِي قُبَيْلَ التكبيرِ ليُساعِدَ اللسانُ القلبَ ولأنه أبعَدُ عن الوَسوَسِ
Disunatkan melafazkan apa yang diniatkan sebelum takbir(solat) agar lidah dapat membantu hati dan agar menghindarkan dari was-was”.

Disebutkan dalam Raudh dan Syarhnya:
ويُسْتَحَبُّ النُطْقُ مع النية بها قُبَيْلَ التكبيرِ
“ Dan mustahab(sunat) melafazkan bersama niat(di hati) dengannya beberapa ketika sebelum takbir”.

Pendapat yang mengatakan sunat ini juga dijelaskan oleh Syeikh Zainuddin dalam Fath al-Mu’in dalam bab Sifat Sembahyang, Syeikh al-Islam,Syeikh Zakaria al-Ansari dalam Fath al-Wahhab, Imam Khatib Syarbini dalam kitab Mughni al-Muhtaj dan lain-lain imam Mazhab Syafi’e.

Mazhab Hanbali:
Sunat seperti yang disebutkan di dalam Kasyf al-Qina’ ala Matn al-Iqna’:
ومَحَلُّها القَلْبُ وجوباً واللسانُ اِستِحْباباً
“ Dan tempatnya di hati iaitu wajib, dan di lidah ialah sunat”.

Mazhab Maliki:
Hukum melafazkan niat bagi orang yang tidak was-was hukumnya Khilaf Aula, tetapi sunat bagi yang was-was.

Di dalam Syarh ad-Dardir ala Matn al-Khalil:
ولفظُهُ أي تلفُّظُ المُصلِّي بما يُفيدُ النيّةَ كان يقولُ نوَيْتُ فرضَ الظُّهرِ مثلاً واسعٌ أي جائزٌ بمعنى خلافُ الأَولَى
“ Dan lafaznya iaitu orang yang sembahyang melafazkan dengan apa yang membawa kepada niat, seperti dia melafazkan: Aku berniat solat Zohor umpamanya, ia adalah dibenarkan iaitu boleh dengan makna Khilaf Aula”.

Di dalam Hasyiahnya, beliau berkata:
ويُستَثْنَى منه المُوَسْوِسُ فإنه يُستحَب له التلَفُّظُ بما يُفيدُ النيِّةَ ليَذْهَبَ عنه اللَّبْسَ كما في المَواقِي
“ Dan dikecualikan daripadanya orang yang was-was, maka bahawasanya sunat dia bertalaffuz dengan apa yang membawa kepada niat untuk menghilangkan was-was(campur aduk) (dalam hatinya) seperti yang disebutkan di dalam Al-mawaqi”.

Mazhab Hanafi:
Melafazkan niat itu adalah Bid’ah dan dipandang baik(istihsan) untuk menolak was-was.
Perkataan “Bid’ah” di sini maksudnya Bid’ah Masnunah(bid’ah yang sunat) bukan Bid’ah Dhalalah kerana telah thabit daripada nuqul, nushush dan qawa’id bahawa bid’ah Dhalalah adalah sesat[ kitab Tazkiyah an-Anzhar wa tashfiyah al-Afkar: ms 21].

Di dalam kitab Dur al-Mukhtar dengan Syarhnya:
والتَّلفُّظُ عندَ الإرادةِ بها مُستَحَبٌّ وهو المُخْتارُ
“ Dan bertalaffuz ketika mahu mengerjakan solat sunat dan ialah pendapat yang terpilih”.

Di dalam kitab Al-Fiqh ‘ala al-Mazahib al-Arba’ah[1/205], karangan Syeikh Abd ar-Rahman al-Juzairi, disebutkan:
Disunatkan melafazkan dengan lidah akan niat seperti dia mengucap dengan lidahnya: “ Usholli Fardhazh Zhohri….”, kerana pada yang sedemikian itu peringatan bagi hati…Dan hukum ini disepakati di sisi mazhab Asy-Syafi’iyyah dan Al-Hanabilah…Bagi mazhab Malikiyyah dan Hanafiyyah, melafazkan niat tidak disyariatkan pada sembahyang  melainkan apabila adalah musholli itu orang yang was-was”.

Adapun setengah golongan yang mengatakan bertalaffuz bin niah itu adalah mukholafah(bercanggah) dengan sunnah Rasulullah bahkan lebih teruk lagi sehingga ada yang mengatakan ianya adalah Bid’ah Dholalah adalah sangat tidak tepat kerana sekiranya demikian, maka bagaimana pula pandangan ulama’ empat mazhab di atas tersebut? Adakah mereka semua yang memberikan pendapat tersebut adalah bercanggah dengan sunnah Rasulullah? Fikirlah,mereka lebih hebat daripada kita semua dan tidak perlu kita mengkondem pendapat mereka dengan alasan semata-mata ianya adalah bercanggah dengan sunnah Rasulullah, bahkan apa yang telah dinyatakan oleh ulama’ empat mazhab tersebut adalah bertepatan dengan sunnah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam…..Wallahua’lam

No comments: