Wednesday 14 December 2011

Al Imam Malik

Al-Imam Malik:
Namanya ialah Malik bin Anas.
Dilahirkan pada tahun 93 H di kota Madinah.
Ada riwayat yang mengatakan ibunya mengandungkan beliau sehingga dua tahun, ada yang mengatakan tiga tahun.
Beliau wafat pada tahun 179 H.

PELAJARAN DAN GURUNYA:

Beliau seorang anak tabi`in dan cucu ulama besar dan berada pula di kurun pertama yang dinyatakan oleh Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam semulia-mulia kurun dan berada di antara suasana yang diliputi para sahabat, tabi`in dan ansahr juga cerdik pandai dan ahli hukum, ditambah pula dengan persediaan otaknya yang luar biasa, cerdik dan pengingat. Dari kecil lagi Imam Malik telah menghafal al-Quran seluruhnya, mempelajari hadith dan menguasai berbagai-bagai ilmu pengetahuan. Gurunya yang pertama ialah Imam Abd al-Rahman bin Hurmuz, ulama besar Madinah, kepadanyalah Imam Malik belajar paling lama, ada yang mengatakan lapan tahun berturut-turut dan kepadanyalah Imam Malik paling rapat mendampingi.

Beliau menambahkan lagi pengajian ilmu fiqh dengan berguru kepada ulama besar Madinah Rabiah Abd al-Rahman dan bagi ilmu hadith pula beliau berguru dengan Imam Nafik Maula ibni Umar radiyallahu`anhu, beliau juga berguru dengan Imam Malik bin Syihab al-Zuhri dan ramai lagi ulama yang lain.

PENGHORMATAN IMAM MALIK KEPADA HADITH NABI:

Ketika Imam Malik mendapat perintah daripada Khalifah Harun al-Rasyid supaya membawa kitab Muwatta’ ke istana kerana baginda hendak mempelajarinya di istana, Imam Malik menjawab kepada utusannya: “Sampaikan salam saya dan pesanan saya kepada khalifah, bahawa pelajaran itu harus sitinjau bukan disuruh meninjau dan pengetahui itu harus didatangi bukan mendatangi”. Dan al-Baramaki (Perdana Menteri) pun balik menyampaikan pesanan Imam Malik kepada baginda.

Pada suatu masa khalifah hadir di dalam majlis Imam Malik tetapi meminta supaya dikhususkan baginya untuk bacaan hadith dan orang ramai hendaklah diminta keluar. Imam Malik terang-terangan menolak titah baginda itu dengan katanya: “ Sesungguhnya salam ini aku tidak pernah membaca hadith ini untuk perseorangan”.

Ketika pembaca hendak membaca hadith daripada kitab Muwatta’, baginda masih bersama di samping Imam Malik, Imam Malik berkata: “Wahai Amir al-Mukminin! Aku banyak berjumpa dengan ahli ilmu di negeri ini, mereka sangat merendah diri terhadap ilmu pengetahuan”. Khalifah benar-benar terasa sindiran itu lalu baginda turun bersama pelajar-pelajar lain meninggalkan Imam Malik di tempat khasnya seorang diri.

Imam Malik ketika hendak membaca hadith kepada orang ramai, ia segera masuk ke tempat mandi, kemudian berwudhuk ataupun mandi,kemudian memakai pakaian yang indah dan kemas serta berserban dan menaruh selendangnya di kepala, baru keluar dan duduk di tempat khasnya, disampingnya dibakar gaharu supaya majlis itu menjadi harum sempena majlis Hadith Rasulullahsallallahu`alaihi wasallam, tempat khasnya itu Cuma digunakan untuk memuliakan hadith Nabi, ditempat lain tidak.

Beliau tidak suka memberi pelajaran hadith di tengah-tengah jalan atau masa berdiri atau dalam keadaan terburu-buru, manakala didengarnya suara di majlis hadith, dimarahinya, disuruh diam menghormati hadith Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam.

DI MAJLIS PENGAJIAN IMAM MALIK:

Kalau kita hadir bersama di majlis pengajian Imam Malik, kita akan merasa gerun dan hebat oleh besarnya peribadi beliau. Murid-murid beliau senyap ibarat tikus jatuh ke beras atau ibarat orang ditenggek burung di kepala tiada bergerak, tiada mengantuk, bual-bula kecil atau gelisah. Masing-masing tertumpu kepada wajah beliau seolah-olah menanti amanah atau titah diraja dalama masa dunia sedang cemas. Khalifah Harun al-Rasyid semasa belajar terpaksa duduk bersila di hadapannya bersama-sama orang ramai kerana Imam Malik tidak mahu mengajar kitab Muwatta’ ke istana, meneurut kebiasaan titah khalifah-khalifah pada masa itu. Kebiasaannya khalifah-khalifah menitahkan ulama supaya membawa kitab ke rumahnya untuk mengajar khalifah atau keluarganya. Sebab menurut Imam Malik ilmu yang diajarkan kepada perseorangan itu tiada berkatnya dan ilmu ini besar martabatnya tidak boleh mendatang tetapi hendaklah didatangi.

PANDANGAN PARA ALIM ULAMA TENTANG IMAM MALIK:

Al-Imam al-Syafi`e berkata: “Apabila datang hadith kepadamu daripada Imam Malik, berpegang teguhlah dengan kedua-dua tanganmu kerana ia menjadi hujah bagimu". Dan beliau berkata lagi:“Apabila orang menyebut-nyebut ulama’ hadith,maka Imam Maliklah bintangnya dan tiada seorang pun yang lebih aku percayai tentangnya daripada Imam Malik”.
Al-Imam Hamad bin Salamah berkata: “Kalau ada orang berkata kepadaku: Pilihlah olehmu seorang daripada umat Nabi Muhammad sallallahu`alaihi wasallam yang patut menjadi Imam untuk diambil ilmunya, nescaya aku memilih Imam Malik”.
Dan Imam al-Laits berkata: “Demi Allah tidak akan aku bersua di muka bumi ini seorang yang lebih aku sayangi daripada Imam Malik”

Al-Muwatta’ merupakan kitabnya yang sangat terkenal, iaitu kitab yang berkaitan dengan hadith Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam dan mazhabnya banyak berkembang di bahagian utara benua Afrika dan sebahagian lagi di timur tengah.

No comments: