Sunday 11 December 2011

Aurat


Aurat:

-  Perkara yang WAJIB ditutup oleh seseorang.

-  WAJIB menutup aurat daripada manusia lain walaupun di dalam gelap(seorang diri)[1] di dalam khalwah sekalipun MELAINKAN[2] ada hajat atau tujuan seperti mandi atau bersejuk-sejuk kerana terlalu panas atau seumpamanya.

Aurat lelaki[3] ada TIGA aurat:

1)  Antara pusat dan lutut - di dalam sembahyang[4], dan pada segala lelaki[5] dan pada perempuan yang mahramnya[6].

2)  SEKELIAN[7] badan lelaki - pada perempuan ajnabiah( yang sah kahwin).

3)  Dua kemaluannya – dalam khalwah(seorang diri).

Aurat sahaya perempuan(hamba)[8] ada DUA aurat:

1)  Antara pusat dan lutut – di dalam sembahyang, dan pada lelaki yang mahramnya, dan di dalam khalwah(seorang diri), dan pada segala perempuan.

2)  SEKELIAN badannya – pada lelaki yang ajnabi(yang sah kahwin).

Aurat perempuan[9] ada EMPAT aurat:

1)  Seluruh tubuh melainkan muka dan dua tapak tangan zahir dan batinnya hingga ke pergelangan tangan -  di dalam sembahyang[10].

2)  SEKELIAN[11] badannya – pada lelaki yang ajnabi( yang sah kahwin).

3)  Lain daripada yang zahir pada ketika khidmatnya[12] – pada perempuan yang kafir.

4)  Antara pusat dan lutut – di dalam khalwah( seorang diri), dengan sesama perempuan islam, dan dengan lelaki yang mahramnya.



[1]  Tutup aurat kerana di atas jalan beradab kepada Allah.

[2]  Harus buka auratnya tetapi MAKRUH melihat aurat dirinya kalau tanpa hajat atau tujuan. Sebaliknya kalau ada hajat maka TIDAK MAKRUH melihat aurat dirinya.

[3]  Lelaki yang baligh. Kata setengah ulama, kanak-kanak yang hampir baligh juga dikategorikan sebagai lelaki(maka wajib tutup aurat juga).

[4]  Jika lihat aurat diri sendiri ketika sembahyang maka BATAL sembahyangnya.

[5]  Sama ada dengan sesama adik beradik lelakinya atau dengan lelaki lain seperti sahabat-sahabatnya, guru-gurunya, dan sebagainya.

[6]  Dengan perempuan yang Mu’abbad(haram kahwin selama-lamanya) sama ada dengan sebab keturunannya, atau rodho’ah(susuannya) atau Musoharoh.

[7]  Nisbah kepada perempuan ajnabiah melihat tubuh badan lelaki.

[8]  Hamba sahaya perempuan adalah tawanan perang yang apabila orang Islam menang di dalam peperangan dengan orang kafir. SUNAT merdekakan mereka. Adapun zaman sekarang ini tidak ada lagi hamba sahaya perempuan ini. Termasuk di dalam bahagian ini adalah khunsa wadhih(orang yang mempunyai dua alat kemaluan di hadapan serta kelakuannya berat ke arah perempuan).

[9]  Termasuk khunsa wadhih yang merdeka.

[10]  Wajib tutup auratnya di pihak atas, keliling dan bawah. Sekiranya ternampak atau terdedah auratnya pada SALAH SATU daripada pihak yang tersebut semasa sembahyang maka BATALLAH sembahyangnya.

[11]  HARAM nisbah kepada lelaki ajnabi melihat atau memandang kepada perempuan ajnabiah. Telah SEPAKAT ulama HARAM lelaki melihat perempuan yang lain daripada muka dan dua tapak tangannya. Tetapi KHILAF ulama pada masalah lelaki memandang atau melihat muka dan dua tapak tangan perempuan ajnabiah:

1)       HARUS lihat – jika tidak ada syahwat, tidak ada berlazat- lazat di hati atau selamat daripada fitnah.
2)       HARAM lihat – jika dengan syahwat, bersedap- sedap di hati atau membawa kepada muqaddimah zina( Qaul Dhaif).
3)       HARAM lihat – walaupun dengan tidak ada syahwat sekalipun. Hanya dimaaf pada pandangan pertama yang tidak disengajai.( Qaul Muktamad).




** Oleh sebab itu, kebanyakan ulama seperti Imam Haramain untuk menutup pintu fitnah maka WAJIB pakai hijab atau purdah bagi perempuan.

Jadi, WAJIB tutup muka bagi perempuan kalau takut fitnah. Dan HARUS buka kalau selamat daripada fitnah.

[12]  Tidak mengapa jika perempuan kafir melihat dua buku lali dan dua tangan hingga ke siku perempuan islam. Setengah ulama mengatakan kepala dan leher juga tidak mengapa. Jadi, tempat selain daripada yang tersebut, maka HARAM perempuan mendedahkan pada perempuan yang kafir.


Hasil kutipan daripada kitab jawi, Matla'ul Bardrain, Syeikh Muhammad bin Ismail Daud Al Fathoni ( halaman 29) dan mendengar syarahan daripada guru mulia, Ustaz Aziz Lubuk Tapah. Semoga bermanfaat. Allahua’lam

No comments: