Wednesday 14 December 2011

Maulid Nabi


Pendapat Ulama Salaf dan Khalaf

Paca pembaca, sebelum kita membahasakan secara terperinci dalil peringatan Maulid Nabi, mari kita lihat pendapat para Ulama’ Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah terhadap peringatan maulid nabi tersebut.
Firman Allah ta`ala:

"فَاسْأَلُوْا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْمَلُوْنَ". 
Maksudnya:

"Maka bertanyalah kepada ahli zikir (orang yang mempunyai ilmu) jika kamu tidak mengetahui"

(Surah al-Nahl: 43 dan Surah al-Anbiya’: 7)

Perintah untuk bertanya kepada ahli zikir yakni ulama’ yang berilmu dan ulama’ Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah yang bertaqwa dan mengamalkan ilmunya, ternyata disuruh oleh Allah ta`ala seperti yang dinyatakan di dalam al-Quran. Ini membuktikan bahawa pendapat para ulama’ sangata penting, sebab mereka adalah pewaris para nabi. Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam bersabda:

"إِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الأَنْبِيَاءِ، إِنَّ الأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوْا دِيْنَارًا وَلا دِرْهَمًا، إِنَّمَا وَرَّثُوْا الْعِلْمَ، فَمَنْ أَخَذَ بِهِ أَخَذَ بِحَظٍّ". 

Maksudnya:
"Sesungguhnya para ulama’ adalah pewaris para Nabi, dan sesungguhnya para Nabi tidak mewariskan dinar mahupun dirham, akan tetapi mereka mewariskan ilmu, barangsiapa mengambilnya, ia telah mengambil bahagian yang sangat banyak"

(Diriwayatkan oleh al-Tirmizi, Abu Daud, Ibn Majah dan Ahmad)

Pembaca yang dikasihi sekalian, para ulama’ yang pendapatnya kami nukilkan di dalam artikel ini adalah ulama’ pilihan yang kesalehannya telah dikenal di seluruh dunia. Mereka adalah orang yang sangat takut kepada Allah. Semoga dengan membaca dan melihat pendapat mereka, hati kita terbuka untuk memahami mengenai peringatan maulid Nabi dengan benar. Amiin Ya Rabb.

PENDAPAT ULAMA’ AL-SALAF AL-SALEH

PENPAPAT AL-IMAM HASAN AL-BASRI[1]

Al-Imam Hasan al-Basri[2] adalah seorang tabi`in yang lahir di kota Madinah pada dua tahun terakhir pemerintahan Khalifah `Umar bin Khattab radiyallahu`anhu suatu ketika dahulu bahkan Khalifah `Umar radiyallahu`anhu mendoakan beliau dengan doannya berikut:

"اللَّهُمَّ فَقِّهْهُ فِي الدِّيْنِ وَحَبِّبْهُ إِلَى النَّاسِ". 
Maksudnya:
"Ya Allah jadikan dia sebagai orang yang memiliki kefahaman terhadap agama dan dicintai oleh masyarakat"
Kecerdasan dan kesalehan al-Imam Hasan al-Basri radiyallahu`anhu menarik perhatian para sahabat sehingga mereka pun memberikan tempat terhormat kepada beliau. Sayyiduna Anas bin Malik radiyallahu`anhu berkata:[3]
“Bertanyalah kepada al-Hasan, kerana dia masih ingat sedangkan kami telah lupa”.

Demi melaksanakan anjuran sahabat yang selama 10 tahun menjadi pembantu Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam ini, mari kita lihat bagaiman pendapat al-Imam Hasan al-Basri radiyallahu`anhu terhadap peringatan maulid Nabi. Di dalam sebuah riwayat disebutkan bahawa al-Imam Hasan al-Basri radiyallahu`anhu mengatakan:[4]

"وَدِدْتُ لَوْ كَانَ لِيْ مِثْلُ جَبَلِ أُحُدٍ ذَهَبًا لأَنْفَقْتُهُ عَلَى قَرَاءَةِ مَوْلِدِ الرَّسُوْلِ". 

Maksudnya:
"Andai kata-kataku memiliki emas sebesar bukit Uhud, maka akan kudermakan semunya untuk penyelenggaraan pembacaan maulid Rasul"

Ucapan al-Imam Hasan al-Basri radiyallahu`anhu di atas menunjukkan bahawa para tabi`in menaruh perhatian yang sangat besar terhadap kelahiran Nabi Muhammad sallallahu`alaihi wasallam. Bagaimana tidak, beliau rela mendermakan seluruh hartanya demi menyelenggarakan pembacaan sejarah kelahiran Nabi sallallahu`alaihi wasallam. Jadi bagimana pula dengan kita????

Sudahkah kita dermakan sebahagian harta kita demi memuliakan hari kelahiran Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam? Sungguh menghairankan, jika untuk memuliakan dan mengenang harij jadi organisasi, hari jadi perusahaan, hari jadi keluarga, hari jadi anak kita, hari perkahwinan, kita rela mengeluarkan jumlah harta yang banyak. Tetapi untuk mengenangkan kelahiran Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam ada sebahagian kita yang merasakan keberatan dan enggan untuk mendermakan sebahagian hartanya. Semoga Allah memberi kita taufiq dan hidayah. Amiin ya Rabb.

PENDAPAT AL-SYEIKH MA`RUF AL-KARKHI (W. 200 H)

Al-Syeikh Ma`ruf al-Karkhi rahimahullah adalah seorang ahli sufi terkemuka. Cerita tentang kesalehan beliau sangat banyak dan salah satunya adalah kekuatan prasangka baik beliau kepada sesama Muslim.
Suatu hari ketika beliau sedang berpuasa sunat, al-Syeikh Ma`ruf al-Karkhi rahimahullah berjalan melawat seorang yang membahagi-bahagikan air secara hebat. Dengan suara lantang lelaki itu berkata:

“Semoga Allah merahmati orang yang mahu minum air ini”.

Mendengar ucapannya, al-Syeikh Ma`ruf al-Karkhi rahimahullah berhenti dan meminum air tersebut. Kemudian tanya seorang lelaki kepadanya:

“Bukankah engkau sedang berpuasa?”

Jawab beliau:

“Benar, akan tetapi aku berharap mendapatkan rahmat Allah sebagaimana doa lelaki tersebut”.[5]

Cuba anda perhatikan keluasan ilmu al-Syeikh Ma`ruf al-Karkhi rahimahullah, beliau berpuasa sunat tiada lain adalah demi mendapatkan rahmat Allah ta`ala. Ketika mendengar seseorang menjanjikan rahmat Allah dengan seteguk air, maka beliau pun segera meminumnya. Beliau percaya dan yakin bahawa Allah akan mengkabulkan doa lelaki tersebut. Ini merupakan sebuah bukti kesucian hati beliau.

Ucapan yang muncul daripada hati manusia yang berjiwa mulia seperti ini tentu tidak sama dengan ucapan seseorang yang belum diuji kesalehannya.

Al-Syeikh Ma`ruf al-Karkhi rahimahullah sangat mengambil berat mengenai majlis maulid Nabi. Salam salah satu nasihatnya, beliau mengatakan:[6]

"مَنْ هِيَّأَ لأَجْلِ قَرَاءَةِ مَوْلِدِ الرَّسُوْلِ طَعَامًا، وَجَمَعَ إِخْوَانًا، وَأَوْقَدَ سِرَاجًا، وَلَبِسَ جَدِيْدًا، وَتَعَطَّرَ وَتَجَمَّلَ، تَعْظِيْمًا لِمَوْلِدِهِ، حَشَرَهُ اللهُ تَعَالَى يَوْمَ الْقِيَامَةِ مَعَ الْفِرْقَةِ الأَوْلَى مِنَ النَّبِيِّيْنَ، وَكَانَ فِيْ أَعْلَى عِلِّيِّيْنَ". 

Maksudnya:
"Barangsiapa menyediakan makanan, mengumpulkan teman-teman, menyiapkan lampu, memakai pakaian baru, memakai wangian dan menghias dirinya untk membaca dan mengagungkan maulid Rasul, maka kelak di hari kiamat Allah akan mengumpulkannya bersama para Nabi, orang-orang yang berada  di dalam barisan pertama. Dan dia akan ditempatkan di `Illiyyin yang tertinggi"

Saudarku yang dirahmati sekalian, kenyataan al-Syeikh Ma`ruf al-Karkhi di atas telah disampaikan lebih 1200 tahun yang lalu. Disebabkan itu, sungguh pelik jika dikatakan para ulama’ al-Salaf al-Saleh tidak menyuruh seseorang itu untuk memuliakan dan menyambut maulid nabi sallallahu`alaihi wasallam. Bentuk peringatan mereka mungkin agak berbeza dengan peringatan kita dewasa ini, akan tetapi isinya tetap sama iaitu memuliakan kelahiran Nabi Muhammad sallallahu`alaihi wasallam.

PENDAPAT AL-SYEIKH SIRRI AL-SAQATHI (W. 253 H)

Al-Syeikh Sirri al-Saqathi adalah guru  kepada al-Syeikh al-Imam al-Junaid al-Baghdadi. Di samping itu, beliau juga merupakan murid Ma`ruf al-Karkhi rahimahullah. Kesalehan dan kegigihan al-Syeikh Sirri al-Saqathi rahimahullah dalam beribadah tidak dinafikan lagi. Al-Syeikh al-Imam al-Junaid rahimahullah berkata:[7]

“Aku tidak melihat seseorang yang lebih hebat ibadahnya daripada Sirri, selama 98 tahun beliau tidak pernah berbaring kecuali pada saat sakit menjelang wafatnya”.

Ertinya, al-Syeikh Sirri al-Saqathi rahimahullah sentiasa beribadah kepada Allah ta`ala, siang mahupun malam. Jika harus tidur, itupun beliau lakukan dalam keadaan duduk, sehingga wudhuknya tidak terbatal.
Sebagaimana guru, al-Syeikh Sirri al-Sqathi rahimahullah memiliki perhatian yang sangat besar terhadap peringatan maulid Nabi. Beliau mengatakan:[8]

"مَنْ قَصَدَ مَوْضِعًا يُقْرَأُ فِيْهِ مَوْلِدُ النَّبِيِّ فَقَدْ قَصَدَ رَوْضَةً مِنْ رِيَاضِ الْجَنَّةِ لأَنَّهُ مَا قَصَدَ ذَلِكَ الْمَوْضِعَ إِلا لِمَحَبَّةِ الرَّسُوْلِ. وَقَدْ قَالَ عَلَيْهِ السَّلامُ: مَنْ أَحَبَّنِيْ كَانَ مَعِيْ فِي الْجَنَّةِ". 

Maksudnya:
"Barangsiapa pergi ke sebuah tempat di mana di sana dibacakan mauled Nabi, maka dia telah berada di sebuah syurga, kerana tujuannya pergi ke tempat itu tidak lain adalah untuk mengungkapkan rasa cintanya kepada Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam, sedangkan Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam telah bersabda: Barangsiapa mencintaiku, maka dia bersamaku di syurga"

Cuba kita perhatikan dengan teliti, beliau menyatakan bahawa seseorang yang duduk di tempat pembacaan maulid Nabi demi cintanya kepada Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam bererti dia sedang duduk di taman Syurga. Kenyataan al-Syeikh Sirri al-Saqathi di atas diucapkan selepas beliau mendalami al-Quran dan al-Hadith serta mengamalkannya. Sekarang terpulang kepada anda, sama ada mahu mengikut pendapat ulama’ yang kami kemukakan atau mahu mengikut pandagan golongan-golongan yang sesat seperti wahhabi yang mengharamkan dan membid`ahkan maulid dan kesalehan mereka juga belum diuji.

PENDAPAT AL-SYEIKH AL-JUNAID AL-BAGHDADI (W. 297 H)

Al-Imam al-Junaid rahimahullah, dikenali sebagai pemimpin para sufi. Semenjak kecil tanda-tanda kesalehan beliau telah tampak pada diri beliau. Beliau tekun belajar dan beribadah hingga dalam usia yang masih sangat muda iaitu 20 tahun, beliau telah mendapat kepercayaan untuk menjadi mufti[9] pada usia yang begitu muda[10].
Setiap hari, al-Imam al-Junaid berniaga di kedainya. Di sana, beliau bukan hanya berniaga bahkan beberapa riwayat mengatakan bahawa setiap kali al-Syeikh al-Junaid memasuki kedainya, maka dia mengerjakan solat sunat sebanyak 400 rakaat[11].

Sebagaimana pendahuluanya, al-Imam Junaid al-Bagdhdadi rahimahullah sangat memuliakan maulid Nabi. Beliau mengatakan:

"مَنْ حَضَرَ مَوْلِدَ الرَّسُوْلِ وَعَظَّمَ قَدْرَهُ فَقَدْ فَازَ بِالإِيْمَانِ". 

Maksudnya:
"Barangsiapa menghadiri mauled Rasul dan mengagungkan (memuliakan) kedudukannya, maka dia telah Berjaya dengan keimanan"

Cuba anda perhatikan, al-Syeikh al-Junaid al-Baghdadi menjadikan semangat untuk memuliakan maulid nabi sebagai kayu ukur iman.seseorang yang sempurna imannya akan menghadiri, memuliakan dan mengagungkan peringatan maulid nabi Muhammad sallallahu`alaihi wasallam.

PENDAPAT ULAMA’ KHALAF

PENDAPAT AL-SYEIKH `ABDULLAH AS`AD AL-YAFI`I

Al-Syeikh `Abdullah bin As`ad al-Yafi`i rahimahullah merupakan seorang ulama’ terkemuka dalam dunia Islam. Karya beliau sangat banyak, salah satunya adalah Raudh al-Rayyahin. Sebagai seorang yang pakar mengenai sejarah Islam, beliau sangat meneliti sejarah kehidupan baginda Nabi Muhammad sallallahu`alaihi wasallam. Oleh itu, kerana menjawab persoalan maulid, beliau berkata:

"مَنْ جَمَعَ لِمَوْلِدِ النَّبِيِّ إِخْوَانًا وَهِيَّأَ طَعَامًا وَأَخْلَى مَكَانًا وَعَمِلَ إِحْسَانًا وَصَارَ سَبَبًا لِقِرَاءَةِ مَوْلِدِ الرَّسُوْلِ بَعَثَهُ اللهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مَعَ الصِّدِيْقِيْنَ وَالشُّهَدَاءِ وَالصَّالِحِيْنَ وَيَكُوْنُ فِيْ جَنَّاتِ النَّعِيْمِ". 

Maksudnya:
"Barangsiapa mengumpulkan teman-temannya, mempersiapkan hidangan, menyediakan tempat, melakukan kebaikan untuk maulid Nabi dan semua itu menjadi sebab pembacaan maulid Rasul, maka di hari kiamat kelak Allah akan membangkitkannya bersama orang-orang yang siddiq, para syuhada dan kaum solihin. Dan kelaik ia akan berada di syurga-syurga yang penuh kenikmatan".

Wahai saudaraku, cuba anda perhatikan kenyataan beliau rahimahullah di atas. Sebagai orang yang merindukan syurga, apakah kita tidak ingin memakmurkan dan membuat majlis maulid Nabi?

PENDAPAT AL-HAFIZ ABU BAKAR BIN `ABD AL-RAHMAN AL-SUYUTHI (W. 911 H)

Al-Imam al-Suyuthi merupakan salah seorang ulama besar yang lahir pada bulan Rejab 849 Hijrah. Keluasan ilmu beliau telah terbukti dengan berbagai karya karangan beliau lebih daripada 400 buah kitab. Di samping itu, beliau menghafal al-Quran, beliau juga menghafal beberapa kitab besar seperti al-Minhaj karangan al-Imam Nawawi[12] dan juga al-`Umdah. Beliau juga disebut-sebut sebagai mujaddid iaitu pembaharuan pada abad ke-9 hijrah.
Dalam himpunan fatwanya, al-Jafiz al-Suyuthi menulis satu bab khusus yang menjelaskan keutamaan peringatan maulid nabi. Di bawah ini kami nukilkan dua kenyataan beliau, insya Allah akan membangkitkan semangat kita untuk memuliakan hari kelahiran Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam. Beliau ditanya mengenai hukum menyambut maulid, maka beliau berkata:[13]

"عِنْدِيْ أَنَّ أَصْلَ عَمَلِ الْمَوِلِدِ الَّذِيْ هُوَ اجْتِمَاعُ النَّاسِ وَقِرَاءَةُ مَا تَيَسَّرَ مِنَ القُرْءَانِ وَرِوَايَةُ الأَخْبَارِ الْوَارِدَةِ فِيْ مَبْدَإِ أَمْرِ النَّبِيِّ وَمَا وَقَعَ فِيْ مَوْلِدِهِ مِنَ الآيَاتِ، ثُمَّ يُمَدُّ لَهُمْ سِمَاطٌ يَأْكُلُوْنَهُ وَيَنْصَرِفُوْنَ مِنْ غَيْرِ زِيَادَةٍ عَلَى ذلِكَ هُوَ مِنَ الْبِدَعِ الْحَسَنَةِ الَّتِيْ يُثَابُ عَلَيْهَا صَاحِبُهَا لِمَا فِيْهِ مِنْ تَعْظِيْمِ قَدْرِ النَّبِيِّ وَإِظْهَارِ الْفَرَحِ وَالاسْتِبْشَارِ بِمَوْلِدِهِ الشَّرِيْفِ".

Maksudnya:
"Menurutku, isi peringatan daripada peringatan Maulid Nabi adalah berkumpulnya masyarakat, pembacaan sebahagian ayat al-Quran, pembacaan riwayat yang menjelaskan awal perjuangan Nabi sallallahu`alaihi wasallam dan berbagai peristiwa besar yang terjadi saat kelahiran baginda, penyajian maknana kepada hadirin dan mereka pun menyantap dan kemudian pergi tanpa melakukan perbuatan lain. Perbuatan seperti ini merupakan sebuah bid`ah hasanah yang pelakunya akan mendapat pahala. Sebab, di dalam peringatan maulid itu terdapat perbuatan permuliaan Nabi dan mewujudkan rasa senang dan bahagia atas kelahiran baginda sallallahu`alaihi wasallam yang mulia".

Di dalam kesempatan yang lain, beliau juga mengatakan:[14]

"وَمَا مِنْ مُسْلِمٍ قُرِىءَ فِيْ بَيْتِهِ مَوْلِدُ النَّبِيِّ إِلا رَفَعَ اللهُ تَعَالَى الْقَحْطَ وَالْوَبَاءَ وَالْحَرْقَ. وَالآفَاتِ وَالْبَلِيَّاتِ وَالنَّكَبَاتِ وَالْبَغْضَ وَالْحَسَدَ وَعَيْنَ السُّوْءِ وَاللُّصُوْصَ عَنْ أَهْلِ ذَلِكَ الْبَيْتِ، فَإِذَا مَاتَ هَوَّنَ اللهُ تَعَالَى عَلَيْهِ جَوَابَ مُنْكَرَ وَنَكِيْرَ، وَكَانَ فِيْ مَقْعَدِ صِدْقٍ عِنْدَ مَلِيْكٍ مُقْتَدِرٍ".

Maksudnya:
"Tidaklah sebuah rumah Muslim dibacakan maulid nabi padanya melainkan Allah singkirkan kelaparan, wabak penyakit, kebakaran, berbagai jenis bencana, kebencian, kedengkian,pandangan buruk, serta pencurian daripada penghuni rumah itu dan jika ia meninggal dunia, maka Allah memberinya kemudahan untuk menjawab pertanyaan Malaikat Munkar dan Nakir. Dan dia kelak akan berada di tempat yang disenangi di sisi Tuhan Yang Maha Berkuasa".

PENDAPAT AL-SYEIKH AL-ISLAM AL-KHATIMAH AL-HUFFAZH AMIR AL-MU’MININ FI AL-HADITH, AL-IMAM AHMAD IBN HAJAR AL-`ASQALANI (W. 852 H). 

Al-Syaikh al-Islam Khatimah al-Huffazh Amir al-Mu’minin Fi al-Hadith al-Imam Ahmad Ibn Hajar al-`Asqalani. Beliau menyatakan seperti berikut:

 "أَصْلُ عَمَلِ الْمَوْلِدِ بِدْعَةٌ لَمْ تُنْقَلْ عَنِ السَّلَفِ الصَّالِحِ مِنَ الْقُرُوْنِ الثَّلاَثَةِ، وَلكِنَّهَا مَعَ ذلِكَ قَدْ اشْتَمَلَتْ عَلَى مَحَاسِنَ وَضِدِّهَا، فَمَنْ تَحَرَّى فِيْ عَمَلِهَا الْمَحَاسِنَ وَتَجَنَّبَ ضِدَّهَا كَانَتْ بِدْعَةً حَسَنَةً". وَقَالَ: "وَقَدْ ظَهَرَ لِيْ تَخْرِيْجُهَا عَلَى أَصْلٍ ثَابِتٍ".

 Maksudnya:
“Asal peringatan maulid adalah bid`ah yang belum pernah dinukikanl daripada (ulama’) al-Salaf al-Saleh yang hidup pada tiga abad pertama, tetapi demikian peringatan maulid mengandungi kebaikan dan lawannya (keburukan), jadi barangsiapa dalam peringatan maulid berusaha melakukan hal-hal yang baik sahaja dan menjauhi lawannya (hal-hal yang buruk), maka itu adalah bid`ah hasanah”. Al-Hafizh Ibn Hajar juga mengatakan: “Dan telah nyata bagiku dasar pengambilan peringatan Maulid di atas dalil yang thabit (Sahih)”.

PENDAPAT AL-IMAM AL-HAFIZH AL-SAKHAWI

Al-Imam al-Hafizh al-Sakhawi seperti disebutkan di dalam “al-Ajwibah al-Mardliyyah”, seperti berikut:

 "لَمْ يُنْقَلْ عَنْ أَحَدٍ مِنَ السَّلَفِ الصَّالِحِ فِيْ الْقُرُوْنِ الثَّلاَثَةِ الْفَاضِلَةِ، وَإِنَّمَا حَدَثَ "بَعْدُ، ثُمَّ مَا زَالَ أَهْـلُ الإِسْلاَمِ فِيْ سَائِرِ الأَقْطَارِ وَالْمُـدُنِ الْعِظَامِ يَحْتَفِلُوْنَ فِيْ شَهْرِ مَوْلِدِهِ -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَشَرَّفَ وَكَرَّمَ- يَعْمَلُوْنَ الْوَلاَئِمَ الْبَدِيْعَةَ الْمُشْتَمِلَةَ عَلَى الأُمُوْرِ البَهِجَةِ الرَّفِيْعَةِ، وَيَتَصَدَّقُوْنَ فِيْ لَيَالِيْهِ بِأَنْوَاعِ الصَّدَقَاتِ، وَيُظْهِرُوْنَ السُّرُوْرَ، وَيَزِيْدُوْنَ فِيْ الْمَبَرَّاتِ، بَلْ يَعْتَنُوْنَ بِقِرَاءَةِ مَوْلِدِهِ الْكَرِيْمِ، وَتَظْهَرُ عَلَيْهِمْ مِنْ بَرَكَاتِهِ كُلُّ فَضْلٍ عَمِيْمٍ بِحَيْثُ كَانَ مِمَّا جُرِّبَ". ثُمَّ قَالَ: "قُلْتُ: كَانَ مَوْلِدُهُ الشَّرِيْفُ عَلَى الأَصَحِّ لَيْلَةَ الإِثْنَيْنِ الثَّانِيَ عَشَرَ مِنْ شَهْرِ رَبِيْع الأَوَّلِ، وَقِيْلَ: لِلَيْلَتَيْنِ خَلَتَا مِنْهُ، وَقِيْلَ: لِثَمَانٍ، وَقِيْلَلِعَشْرٍ وَقِيْلَ غَيْرُ ذَلِكَ، وَحِيْنَئِذٍ فَلاَ بَأْسَ بِفِعْلِ الْخَيْرِ فِيْ هذِهِ الأَيَّامِ وَاللَّيَالِيْ عَلَى حَسَبِ الاسْتِطَاعَةِ بَلْ يَحْسُنُ فِيْ أَيَّامِ الشَّهْرِ كُلِّهَا وَلَيَالِيْهِ". 

Maksudnya:
“Peringatan Maulid Nabi belum pernah dilakukan oleh seorangpun daripada kaum al-Salaf al-Saleh yang hidup pada tiga abad pertama yang mulia, melainkan baru ada setelah itu di kemudian. Dan ummat Islam di semua daerah dan kota-kota besar sentiasa mengadakan peringatan Maulid Nabi pada bulan kelahiran Rasulullah. Mereka mengadakan jamuan-jamuan makan yang luar biasa dan diisi dengan hal-hal yang menggembirakan dan baik. Pada malam harinya, mereka mengeluarkan berbagai-bagai sedekah, mereka menampakkan kegembiraan dan suka cita. Mereka melakukan kebaikan-kebaikan lebih daripada kebiasaannya. Bahkan mereka berkumpul dengan membaca buku-buku maulid. Dan nampaklah keberkahan Nabi dan Maulid secara menyeluruh. Dan ini semua telah teruji”. Kemudian al-Sakhawi berkata: “Aku Katakan: “Tanggal kelahiran Nabi menurut pendapat yang paling sahih adalah malam Isnin, tanggal 12 bulan Rabi’ul Awwal. Menurut pendapat lain malam tanggal 2, 8, 10 dan masih ada pendapat-pendapat lain. Oleh kerananya tidak mengapa melakukan kebaikan bila pun pada siang hari dan waktu malam ini sesuai dengan kesiapan yang ada, bahkan baik jika dilakukan pada siang hari dan waktu malam bulan Rabi'ul Awwal seluruhnya” .


PENDAPAT AL-SYEIKH AL-SAYYID AHMAD ZAINI DAHLAN (W. 1304 H)

Telah berkata al-Syeikh al-Sayyid Ahmad bin Zaini Dahlan (W. 1304 H) di dalam kitabnya Sirah al-Nabi, merupakan Mufti Besar Mazhab Syafi`e di Makkah:[15]

"جَرُتِ الْعَادَةُ أَنَّ النَّاسَ إِذَا سَمِعُوْا ذِكْرَ وَضْعِهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهَذَا الْقِيَامُ مُسْتَحَبُّ لِمَا فِيْهِ مِنْ تَعْظِيْمِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ وَقَدْ فَعَلَ ذَلِكَ كَثِيْرُ مِنْ عُلَمَاءِ الأُمَّةِ الَّذِيْنَ يُفْدَى بِهِمْ".

Maksudnya:
"Telah berlaku kebiasaan, bahawa orang apabila mendengar kisah Nabi dilahirkan, maka ketika Nabi lahir itu mereka berdiri bersam-sama untuk menghormat dan membesarkan Nabi Muhammad sallallahu`alaihi wasallam. Berdiri ini adalah suatu perbuatan yang baik kerana dasarnya ialah membesarkan Nabi Muhammad sallallahu`alaihi wasallam dan sesungguhnya telah mengerjakan perbuatan seperti itu dikalangan daripada ulama’-ulama’ ikutan ummat".
Al-Syeikh al-Sayyid Zaini Dahlan berpendapat bahawa mengadakan maulid Nabi dengan membaca kisah-kisah baginda dan berdiri ketika sampai pembacaan pada lahirnya Nabi adalah suatu perbuatan yang baik.
Sayyid Zaini Dahlan merupakan Mufti Besar Mazhab Syafi`e di Makkah (W. 1304 H), di antara kitab karangan beliau adalah:
  1. Al-Futuh al-Islamiyyah.
  2. Tarikh Daulah al-Islamiyyah.
  3. Al-Durar al-Saniyyah Fi al-Radd `ala al-Wahhabiyyah.

PENDAPAT AL-SYEIKH AL-HALABI

Telah berkata al-Syeikh al-Halabi mengenai maulid di dalam kitab Sirahnya:[16]

"قَالَ الْحَلَبِيُّ فِي السِّيْرَةِ فَقَدْ حَكَى بَعْضُهُمْ أَنَّ الإِمَامَ السُّبْكِيَّ اجْتَمَعَ عِنْدَهُ مِنْ عُلَمَاءِ عَصْرِهِ فَأَنْشَدَ مُنْشِدُهُ قَوْلَ الصَّرْصَرِيِّ فِيْ مَدْحِهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَعِنْدَ ذَلِكَ قَامَ الإِمَامُ السُّبْكِيُّ وَجَمِيْعُ مَنْ بِالْمَجْلِسِ".

Maksudnya:
"Berkata al-Halabi di dalam kitab Sirah: Telah dikhabarkan bahawa di hadapan  al-Imam al-Subki pada suatu kali ketika berkumpul ramai ulama’-ulama’ pada zaman itu. Kemudian salah seorang daripada mereka membaca perkataan Sarsari dalam memuji Nabi. Pada ketika itu al-Imam al-Subki dan sekalian ulama’ yang hadir berdiri bagi menghormati Nabi".
Al-Imam Taqiyyuddin al-Subki rahimahullah adalah asalah seorang ulama’ besar dalam mazhab Syafi`e, beliau adalah pengarang kitab “Takmilah al-Majmu`” iaitu sambungan daripada kitab “al-Majmu` Syar al-Muhazzab” karangan al-Imam al-Nawawi.

Anak beliau juga merupakan seorang ulama’ besar iaitu Tajuddin al-Subki (W. 657 H) pengarang kitab “Jam`u al-Jawami`”, kitab usul fiqh besar yang telah diguna pakai oleh dunia Islam di dalam mempelajari usul fiqh.
Beliau juga berpendapat bahawa berdiri ketika mendengar kisah Nabi dilahirkan adalah suatu pekerjaan yang baik demi menghormati Nabi.

PENDAPAT AL-IMAM ABU SYAMAH

Telah berkata al-Imam Abu Syamah mengenai maulid Nabi:[17]

"وَمِنْ اَحْسَنِ مَا ابْتُدِعَ فِيْ زَمَنِنَا مَا يُفْعَلُ كُلُّ عَامٍ فِي الْيَوْمِ الْمُوَافِقِ لِيَوْمِ مَوْلِدِهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنَ الصَّدَقَاتِ وَالْمَعْرُوْفِ وَإِظْهَارِ الزِّيْنَةِ وَالسُّرُوْرِ فَإِنَّ ذَلِكَ مَعَ مَا فِيْهِ مِنَ الإِحْسَانِ لِلْفُقَرَاءِ مُشْعِرٌ بِمَحَبَّةِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَتَعْظِيْمِهِ فِيْ قَلْبِ فَاعِلِ ذَلِكَ وَبِشُكْرِ اللهِ تَعَالَى عَلَى مَا مَامَنَّ بِهِ مِنْ إِيْجَادِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الَّذِيْ أَرْسَلَهُ رَحْمَةً لِلْعَالَمِيْن".

Maksudnya:
"Suatu hal yang baik ialah apa yang dibuat tiap-tiap tahun, bersetuju dengan hari maulid Nabi Muhammad sallallahu`alaihi wasallam, memberi sedekah, membuat kebajikan, melahirkan kegembiraan dan kesenangan, maka hal itu selain berbuat baik bagi fakir miskin, juga mengingatkan kita untuk mengasihi junjungan kita Nabi Muhammad sallallahu`alaihi wasallam, membesarkan baginda dan bersyukur kepada Tuhan atas kurniaan-Nya yang telah mengirim Rasul bagi kebahagiaan seluruh makhluk".

Al-Imam Abu Syamah adalah seorang ulama’ besar dalam mazhab Syafi`e. Beliau hidup pada abad ke-VII Hijrah dan beliau adalah guru dari al-Imam al-Nawawi.

Beliau berpendapat bahawa:
  1. Merayakan maulid Nabi dengan suatu perayaan dengan perbanyak sedekah dan bakti pada hari maulid dan melahirkan kegembiraan atas maulid Nabi adalah suatu “bid`ah hasanah/baik” iaitu sesiapa yang mengerjakannya akan mendapat pahala.
  2. Mengadakan perayaan maulid Nabi adalah manifestasi daripada kecintaan kita kepada Nabi kita Muhammad sallallahu`alaihi wasallam.
Daripada pendapat ulama’-ulama’ Ahlussunnah Waljama`ah, dapatlah suatu keterangan yang jelas kepada kita semua iaitu bid`ah terbahagi kepada dua bahagian:
  1. Bid`ah Hasanah iaitu suatu perkara yang dilakukan dan ia belum pernah dilakukan oleh Nabi di zamannya tetapi ia adalah perbuatan baik, berfaedah, untuk umum dan berfaedah kepada masyarakat.
Seperti pembinaan sekolah agama, mengarang buku-buku agama, mengumpulkan al-Quran dalam satu mushaf, membina Universiti-universiti Islam, mengarang kitab-kitab hadith, semuanya belum ada pada zaman Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam tetapi perbuatan tersebut baik pada agama dan untuk masyarakat.
Perayaan maulid Nabi memang tidak di zaman anabi tetapi ia sangat baik untuk disambut kerana ia dapat membangkitkan rasa cinta kepada Nabi, mengasihi Nabi, mengenang perjuangan Nabi, mencontohi akhlak Nabi dan sebagainya. Maka hal itu adalah bid`ah hasanah iaitu bid`ah yang baik dan sesiapa mengerjakannya akan mendapat pahala.
  1. Bid`ah Sayyi`ah, iaitu bid`ah yang buruk dan keji dan barangsiapa melakukannya akan mendapat dosa seperti sembahyang dalam bahasa melayu, azan dalam bahasa melayu dan sebagainya.
Kesimpulannya, saudara-saudaraku boleh melihat kenyataan-kenyataan ulama’-ulama’ Islam generasi Tabi`in sehinggalah ulama’ mutaakhirin seperti di atas dan masih banyak lagi yang kami tidak sempat untuk menukilkan, hanya sekadar ini sahaja daripada kami. Semua ulama’-ulama’ generasi tabi`in dan mutaakhirin setuju dan menggalakkan pembacaan maulid Nabi yang merupakan salah satu bentuk peringatan Maulid Nabi.

Kepada saudara-saudarku sekalian, sebenarnya pendapat mereka sudah cukup kuat untuk dijadikan dalil bagi kita untk mencontohi dan meneladani mereka, akan tetapi demi memuaskan dahaga para penuntut ilmu, marilah kita sama-sama pelajarinya dengan baik sumber-sumber hukum peringatan  maulid Nabi tersebut secara lebih terperinci agar ia menjadi benteng AHLUSSUNNAH WALJAMA`AH di generasi kita dan generasi yang akan datang.
Semoga Allah membukakan pintu hati kita untuk menerima kebenaran sebagai sebuah kebenaran dan kemudian bersedia mengikutinya dengan senang hati. Amiin Ya Rabb.



[1] Ahmad bin Zain al-Habsyi (1987), Syarh al-`Ainiyyah, Singapura: Kerjaya, cet. 1, h. 29-30.

[2] Al-Imam Hasan al-Basri merupakan salah seorang tabi`in yang agung. Ayah beliau adalah budak  Zaid bin Thabit al-Ansari radiyallahu`anhu dan ibunya bernama Khariyyah adalah budak Ummu Salamah radiyallhu`anha. Beliau dilahirkan pada 2 tahun terakhir sebelum wafatnya Khalifah `Umar al-Khattab radiyallahu`anhu. Beliau sempat bertemu sekurang-kurangnya 100 orang sahabat Nabi sallallahu`alaihi wasallam. Beliau wafat pada bulan Rejab 116 hijrah dalam usia 89 tahun. Kenyataan di bawah ini adalah salah satu ungkapan hikmah beliau:

“Sesungguhnya, ketika seseorang melakukan perbuatan baik, ia akan membuat hatinya bercahaya dan tubuhnya kuat. Sedangkan ketika seseorang itu melakukan perbuatan buruk, ia akan membuatkan hatinya menjadi gelap dan tubuhnya menjadi lemah”


[3] Al-Zahabi  (t.t.), Siyar A`lam Nubala’, Beirut: Dar al-Fikir, j. 3, h. 410.

[4] Abu Bakar bin Muhammad Satha al-Dimyathi (t.t.), I`anath al-Thalibin, (t.t.p): Dar al-Fikir, j. 3, h. 255.

[5] Abu al-Qasim `Abd al-Karim bin Hawazin (t.t), al-Risalah al-Qusyairiyyah, (t.tp): Dar al-Khair, h. 427-428.

[6] Abu Bakar bin Muhammad Satha al-Dimyathi (t.t.), I`anah al-Thalibin, (t.t.p): Dar al-Fikir, j. 3, h. 255.

[7] Abu al-Qasim `Abd al-Karim bin Hawazin (t.t), al-Risalah al-Qusyairiyyah, (t.tp): Dar al-Khair, h. 417-418.

[8]  Abu Bakar bin Muhammad Satha al-Dimyathi (t.t.), I`anah al-Thalibin, (t.t.p): Dar al-Fikir, j. 3, h. 255.

[9] Mufti ialah orang yang dapat mengeluarkan fatwa dalam berbagai permasalahan agama kerana keluasan dan ketinggian ilmunya serta keluhuran budinya.

[10] Abu al-Qasim `Abd al-Karim bin Hawazin (t.t), al-Risalah al-Qusyairiyyah, (t.tp): Dar al-Khair, h. 430.

[11] Ibid, 430.

[12] Al-Imam al-Nawawi rahimahullah nama asalnya ialah Muhyiddin Abu Zakaria Yahya bin Syaraf al-Nawawi. Lahir di Nawa pada bulan Muharram 631 hijrah. Sejak kecil lagi beliau telah menghafal al-Quran. Pada tahun 649 hijrah. Beliau menuntut ilmu di Dimaskus. Selama dua tahun di sana, beliau tidak pernah tidur berbaring. Beliau tidur dengan duduk. Dalam waktu empat bulan setengah, beliau telah menghafal  kitab al-Tanbih. Kitab-kitab karangan beliau sangat banyak seperti Ridayus al-Salihin yang telah tersebar ke seluruh penjuru dunia dan banyak di baca di tanah air kita. Beliau wafat pada 24 Rejab 676 hijrah di Nawa dalam usia 45 tahun. (Lihat Faruq Hamadah (t.t.), Dalil al-Raghibin Ila Riyad al-Salihin, (t.tp): Dar al-Thaqafah, cet 1, h. 10-12.

[13] `Abd al-Rahman bin Abu Bakar al-Suyuthi (t.t), al-Hawi Li al-Fatawi, (t.tp): Dar al-Fikir, j. 1, h. 221-222.

[14] Abu Bakar bin Muhammad Satha al-Dimyathi (t.t.), I`anah al-Thalibin, (t.t.p): Dar al-Fikir, j. 3, h. 255.

[15] Abu Bakar bin Muhammad Satha al-Dimyathi (t.t.), I`anath al-Thalibin, (t.t.p): Dar al-Fikir, j. 3, h. 363.

[16]Ibid, h. 364.

[17]Ibid. 364.

No comments: