Friday, 2 December 2011

Aliran Salaf Dan Khalaf

Imam Badaruddin Zarkasyi di dalam kitabnya Al Burhan fi ‘Ulumil Quran juz 2 halaman 78 dan 79 menerangkan “ sesungguhnya di dalam mengertikan ayat-ayat mutasyabihat telah terjadi perbezaan pendapat kepada 3 aliran:
1.    Aliran pertama: Golongan yang berpendapat  ayat-ayat mutasyabihat menurut lafaz zahirnya sahaja dan tidak boleh ditakwilkan sedikit pun. Cara begini dipegang oleh golongan Firqah Mujassimah Musyabbihah(golongan yang menyamakan Allah dengan makhluk).
2.  Aliran kedua:  Golongan yang berpendapat ayat-ayat mutasyabihat mesti ditakwilkan, yaitu dialihkan ertinya kepada makna yang lain tetapi tidak ketahui makna tersebut, dan serahkan kepada Allah jua yang mengetahuinya. Dan di dalam waktu yang sama kita tetap mengiktikadkan bahawa Maha Suci Allah Ta’ala daripada serupa dengan makhluk. Cara begini dipegang oleh para aliran Salafussoleh Radhiallahu ‘anhum.
3.     Aliran ketiga: Golongan yang mentakwilkan ayat-ayat mutasyabihat, yaitu dialihkan maknanya kepada makna yang layak bagi Allah Ta’ala. Inilah aliran yang dipegang oleh aliran Khalaf radhiallahu ‘anhum.

Aliran golongan pertama adalah batil dan sesat, sedangkan aliran yang kedua dan yang ketiga adalah bersumber daripada sahabat-sahabat Rasulullah sallalahu ‘alaihi wasallam. Bagi aliran kedua adalah bersumber daripada Ummu Salamah radhiallahu ‘anha, Imam Malik, Sufian Thauri dan lain-lain manakala bagi aliran ketiga adalah bersumber daripada Sayyidina ‘Ali, Ibnu Mas’ud,Ibnu ‘Abbas dan lain-lain.

Aliran Salaf:
Tanzih dan Tafwidh
Golongan ini berpendapat, bahawa ayat-ayat mutasyabihat sama ada di dalam Al-quran atau Hadis mesti ditakwilkan dan dialihkan tetapi apa erti maknanya kita tidak perlu tahu. Kita serahkan sahaja 100% kepada Allah  Ta’ala dengan beriktiqad bahawa Maha Suci Allah Ta’ala daripada serupa dengan makhluk. Jadi, sebenarnya aliran salaf juga mentakwil ayat-ayat mutasyabihat yaitu dipanggil “ Takwil Ijmali ”(secara umum).
Contoh:
يَدُ اللهِ فَوْقَ أَيْدِيهِمْ    [الفتح: 10]
Ertinya: Tangan Allah di atas tangan mereka.
Jadi, berdasarkan ayat ini memberi kesamaran kepada kita bahawa Allah ada tangan. Perlu diperhatikan di sini dengan teliti, adalah aliran Salaf berpegang dengan bahawasanya Maha Suci Allah Ta’ala(tanzih), tidak diketahui apa erti yadd itu sebaliknya serahkan(tafwidh) saja makna murad itu pada Allah Ta’ala( Maha Suci Allah Ta’ala daripada serupa dengan makhluk). Ini bermaksud, aliran Salaf tidak memperincikan makna kalimah yadd tersebut, sebaliknya diserahkan(tafwidhkan) maknanya pada Allah Ta’ala. Inilah dia pemahaman akidah Salaf yang sebenar. Oleh itu, tidaklah menjadi kesamaran kepada kita  bahawa Allah itu beranggota tangan kerana telah pun ditanzihkan terlebih dahulu. Begitulah seterusnya wahai sahabat-sahabat sekalian, maka kiaskanlah pada ayat-ayat mutasyabihat yang lain selain daripada contoh yang tersebut ini.

Aliran Khalaf:
Tanzih dan Takwil
Golongan ini berpendapat, bahawa ayat-ayat mutasyabihat sama ada di dalam Al-quran atau Hadis mesti ditakwilkan dan dialihkan sama juga seperti kaedah aliran Salaf tetapi takwilan aliran Khalaf ini diterang dan dijelaskan atau diperincikan maknanya dengan makna yang layak bagi Allah Ta’ala. Jadi, dengan erti kata sebenar aliran Khalaf mentakwilkan ayat-ayat mutasyabihat dengan ditakwil secara “ Takwil Tafsili”(secara terang dan jelas).
Contoh:
يَدُ اللهِ فَوْقَ أَيْدِيهِمْ    [الفتح: 10]
Ertinya: Tangan Allah di atas tangan mereka.
Berdasarkan pemahaman secara harfiyyah memang jelas membawa kepada Allah itu seolah-olah bertangan, akan tetapi perlu di ingat kaedah di dalam aliran Khalaf ini adalah lebih kepada menyucikan(tanzih) Allah daripada serupa dengan makhluk dan ditakwilkan dengan makna yang layak dan sesuai bagi Allah Ta’ala yaitu, ditakwilkan makna kalimah yadd dengan makna “ kekuasaan”. Maka, maknanya ayat ini adalah ‘ Kekuasaan Allah di atas tangan mereka’. Jadi, inilah yang dikatakan maksud aliran Khalaf dalam mentakwilkan ayat-ayat yang memberi kesamaran(mutasyabihat) pada kita semua. Untuk aliran ini, kita perlu merujuk kepada banyak tafsir seperti tafsir Ibnu ‘Abbas, tafsir Qurtubi,tafsir Ibnu Kathir dan lain-lain tafsir yang muktabar  bagi mengetahui takwilan-takwilan tersebut pada ayat-ayat mutasyabihat yang lain.

Secara ringkasnya, baik aliran Salaf mahupun aliran Khalaf kedua-dua aliran ini sebenarnya tidak mengertikan ayat-ayat mutasyabihat secara harfiyyah ataupun secara zahiriyyah, tetapi kedua-dua aliran ini sama-sama melakukan takwilan. Cuma, yang menjadi perbezaan adalah aliran Salaf tidak menerangkan takwilan secara terang-terangan manakala aliran Khalaf pula takwilannya secara terang dan jelas. Dan pemahaman aliran Salaf adalah terlebih aslam(selamat), begitu juga pemahaman aliran Khalaf adalah terlebih ahkam(bijak). Jadi kesimpulannya, kedua-kedua aliran ini adalah tepat dan benar di sisi Ahli Sunnah Wal Jama’ah( Al asha’irah Wal Maturidiah).

Golongan Mujassimah Musyabbihah:
Ithbat Dan Tafwidh
Untuk aliran pertama yaitu golongan mujassimah musyabbihah, aliran ini lebih kepada mentafsirkan atau berpegang pada ayat-ayat mutasyabihat secara harfiyyah dan zahiriyyah. Bagi aliran ini, mereka tidak membenarkan sebarang takwilan pada ayat-ayat tersebut. Secara kaedahnya, mereka lebih kepada ithbat(menetapkan) kemudian barulah diserahkan(tafwidh) erti ayat tersebut.
Contoh:
 يَدُ اللهِ فَوْقَ أَيْدِيهِمْ    [الفتح: 10]
Ertinya: Tangan Allah di atas tangan mereka.
Bagi ayat ini, mereka menetapkan bahawa Allah ada tangan tetapi tangan Allah tidak sama dengan tangan manusia atau tangan makhluk. Pemahaman ini adalah tersangat bathil dan bercanggah dengan Akidah Ahli Sunnah Wal Jama’ah Khalaf mahupun Salaf!!...Hal ini kerana memberi sangkaan pada kita bahawa Allah itu mempunyai anggota tubuh!!...Sedangkan di dalam Al- quran Allah Ta’ala berfirman:
لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ ]     الشورى: 11]
Ertinya: Dia tidak menyerupai sesuatu pun.

Maka bagaimana pula pemahaman bathil ini boleh diterima oleh setengah golongan yang mengaku membawa fahaman Salaf yang sebenar? Inilah kalam dusta yang tidak pernah di ajar olah Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam. Sebaliknya jika dikaji dengan lebih teliti di dalam Al-quran Allah Ta’ala berfirman:

نَسُوا اللَّهَ فَنَسِيَهُمْ إِنَّ الْمُنَافِقِينَ هُمُ الْفَاسِقُونَ [ التوبة:٦٧]
Ertinya: Mereka telah lupa kepada Allah, Maka Allah melupakan mereka. Sesungguhnya orang-orang munafik itu adalah orang-orang yang fasik.

Di dalam ayat ini menyatakan Allah Ta’ala itu melupakan orang-orang munafiq, jadi dapatlah difahami bahawa Allah itu LUPA...adakah boleh seseorang itu mengatakan atau iktiqadkan bahawa Allah Ta’ala itu LUPA tetapi LUPA Allah tidak sama dengan lupa manusia atau lupa makhluk?? Pemahaman ini sangat bercanggah antara satu sama lain kerana Allah Maha Mengetahui...

Bagi aliran yang pertama ini yaitu mujassimah musyabbihah, inilah pemahaman yang dibawa oleh golongan WAHHABIYYAH pada zaman sakarang. Al Faqir tidak mahu menggelarkan diri mereka sebagai Salafiyy kerana akidah mereka bukan sebagaimana akidah aliran salafussoleh yang sebenar. Akidah yang di bawa oleh mereka ini adalah fahaman tajsim atau tasybih yang menyamakan Allah Ta’ala dengan makhluk...Untuk ayat-ayat mutasyabihat yang lain seperti wajah, kaki, mata dan lain-lain, mereka juga berpegang sebagaimana keterangan di atas tersebut...Maka qiaskanlah sahabat-sahabat sekalian...

Berkata Imam Jaafar At tohawi, salah seorang ulama’ salaf yang masyhur pada zaman itu:
مَنْ وَصَفَ اللهَ بِمَعْنَى مِنْ مَعَانِى البَشَرِ فَقَدْ كَفَرَ
Ertinya: Sesiapa yang mensifatkan Allah dari sifat sifat manusia maka dia telah KAFIR…wal ‘iya zu billah…
Kesan pemahaman begini boleh membawa kepada lembah kekufuran..Jadi, berhati-hatilah wahai sahabat-sahabat sekalian dengan pegangan ini. Perbanyakanlah bertalaqqi dengan ulama’-ulama’ kita yang berakidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Al asya’irah Wal Maturidiah…Wallahu'alam


Pati Ilmu Tasauf




Ketahuilah bahawasanya ilmu tasauf itu mempunyai dua unsur:
Pertama: Istiqamah(tetap pendirian).
Kedua: Baik kelakuan dengan makhluk.

Istiqamah bermakna bahawa ia mengorbankan segala kehendak nafsunya untuk mendapatkan keindahan peribadinya.



Manakala baik kelakuan dengan manusia pula ialah bahawa engkau tidak memaksa manusia memperturutkan kehendakmu, bahkan sebaliknya engkau paksakan dirimu untuk melayani kehendak mereka selama tidak ada di sana perkara yang MENYALAHI  Syara’.

Maka sesiapa yang tetap pendiriannya dan baik akhlaknya dengan manusia serta ia bergaul dengan lemah lembut, maka orang itu adalah SUFI.

( Kitab Ayyuhal Walad karya Imam Abul Hamid Al Ghazali terjemahan Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam)

Hukum Talaffuz niat sebelum solat


Melafazkan niat dalam suatu ibadah adalah ibadah wajib pernah dilakukan oleh Rasulullah ketika melaksanakan ibadah haji dan umrah. Hadis tersebut adalah
عن أنس رضي الله عنه قال: سمعتُ رسولَ الله صلى الله عليه وسلم يقول: لَبَّيكَ عُمْرةَ وحَجاَّ     [رواه مسلم]
“ Dari Anas berkata: Saya mendengar Rasulullah mengucapkan: Labbaika,aku sengaja mengerjakan umrah dan haji”.

Mazhab Syafi’e:
Imam Ibn Hajar al-Haitami mengatakan di dalam Tuhfah, bahawa lafaz Usholli ini diqiaskan kepada haji. Oleh itu, ulama’ Syafi’iyyah mengatakan SUNAT untuk melafazkan niat pada semua ibadah. Bagi mereka, perbuatan Rasulullah bertalaffuz ketika mengerjakan umrah dan haji di dalam hadis di atas diqiaskan kepada semua ibadah lain.

Imam Nawawi menyatakan di dalam kitabnya Minhaj ath- Tholibin, Bab sifat As-Solah[ms 9]:
“ Niat itu dengan hati dan dimandubkan(disunatkan) berlafaz sebelum takbiratul ihram”.

Imam Ramli menyebutkan dalam kitabnya Nihayah al-Muhtaj[1/437]:
ويُندَبُ النُطْقُ بالمَنْوِي قُبَيْلَ التكبيرِ ليُساعِدَ اللسانُ القلبَ ولأنه أبعَدُ عن الوَسوَسِ
Disunatkan melafazkan apa yang diniatkan sebelum takbir(solat) agar lidah dapat membantu hati dan agar menghindarkan dari was-was”.

Disebutkan dalam Raudh dan Syarhnya:
ويُسْتَحَبُّ النُطْقُ مع النية بها قُبَيْلَ التكبيرِ
“ Dan mustahab(sunat) melafazkan bersama niat(di hati) dengannya beberapa ketika sebelum takbir”.

Pendapat yang mengatakan sunat ini juga dijelaskan oleh Syeikh Zainuddin dalam Fath al-Mu’in dalam bab Sifat Sembahyang, Syeikh al-Islam,Syeikh Zakaria al-Ansari dalam Fath al-Wahhab, Imam Khatib Syarbini dalam kitab Mughni al-Muhtaj dan lain-lain imam Mazhab Syafi’e.

Mazhab Hanbali:
Sunat seperti yang disebutkan di dalam Kasyf al-Qina’ ala Matn al-Iqna’:
ومَحَلُّها القَلْبُ وجوباً واللسانُ اِستِحْباباً
“ Dan tempatnya di hati iaitu wajib, dan di lidah ialah sunat”.

Mazhab Maliki:
Hukum melafazkan niat bagi orang yang tidak was-was hukumnya Khilaf Aula, tetapi sunat bagi yang was-was.

Di dalam Syarh ad-Dardir ala Matn al-Khalil:
ولفظُهُ أي تلفُّظُ المُصلِّي بما يُفيدُ النيّةَ كان يقولُ نوَيْتُ فرضَ الظُّهرِ مثلاً واسعٌ أي جائزٌ بمعنى خلافُ الأَولَى
“ Dan lafaznya iaitu orang yang sembahyang melafazkan dengan apa yang membawa kepada niat, seperti dia melafazkan: Aku berniat solat Zohor umpamanya, ia adalah dibenarkan iaitu boleh dengan makna Khilaf Aula”.

Di dalam Hasyiahnya, beliau berkata:
ويُستَثْنَى منه المُوَسْوِسُ فإنه يُستحَب له التلَفُّظُ بما يُفيدُ النيِّةَ ليَذْهَبَ عنه اللَّبْسَ كما في المَواقِي
“ Dan dikecualikan daripadanya orang yang was-was, maka bahawasanya sunat dia bertalaffuz dengan apa yang membawa kepada niat untuk menghilangkan was-was(campur aduk) (dalam hatinya) seperti yang disebutkan di dalam Al-mawaqi”.

Mazhab Hanafi:
Melafazkan niat itu adalah Bid’ah dan dipandang baik(istihsan) untuk menolak was-was.
Perkataan “Bid’ah” di sini maksudnya Bid’ah Masnunah(bid’ah yang sunat) bukan Bid’ah Dhalalah kerana telah thabit daripada nuqul, nushush dan qawa’id bahawa bid’ah Dhalalah adalah sesat[ kitab Tazkiyah an-Anzhar wa tashfiyah al-Afkar: ms 21].

Di dalam kitab Dur al-Mukhtar dengan Syarhnya:
والتَّلفُّظُ عندَ الإرادةِ بها مُستَحَبٌّ وهو المُخْتارُ
“ Dan bertalaffuz ketika mahu mengerjakan solat sunat dan ialah pendapat yang terpilih”.

Di dalam kitab Al-Fiqh ‘ala al-Mazahib al-Arba’ah[1/205], karangan Syeikh Abd ar-Rahman al-Juzairi, disebutkan:
Disunatkan melafazkan dengan lidah akan niat seperti dia mengucap dengan lidahnya: “ Usholli Fardhazh Zhohri….”, kerana pada yang sedemikian itu peringatan bagi hati…Dan hukum ini disepakati di sisi mazhab Asy-Syafi’iyyah dan Al-Hanabilah…Bagi mazhab Malikiyyah dan Hanafiyyah, melafazkan niat tidak disyariatkan pada sembahyang  melainkan apabila adalah musholli itu orang yang was-was”.

Adapun setengah golongan yang mengatakan bertalaffuz bin niah itu adalah mukholafah(bercanggah) dengan sunnah Rasulullah bahkan lebih teruk lagi sehingga ada yang mengatakan ianya adalah Bid’ah Dholalah adalah sangat tidak tepat kerana sekiranya demikian, maka bagaimana pula pandangan ulama’ empat mazhab di atas tersebut? Adakah mereka semua yang memberikan pendapat tersebut adalah bercanggah dengan sunnah Rasulullah? Fikirlah,mereka lebih hebat daripada kita semua dan tidak perlu kita mengkondem pendapat mereka dengan alasan semata-mata ianya adalah bercanggah dengan sunnah Rasulullah, bahkan apa yang telah dinyatakan oleh ulama’ empat mazhab tersebut adalah bertepatan dengan sunnah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam…..Wallahua’lam