Sebagai ikhtiar, agar kita sentiasa mahu menunaikan sembahyang, maka 
petua-petua berikut hendaklah sentiasa diingati dalam hati sanubari, 
insyaAllah dengan pertolongan, taufiq dan hidayah Allah kita akan 
tergolong daripada kalangan orang yang cinta mengerjakan sembahyang.
Di antara petua-petua itu ialah:
1) Semaikan kesedaran diri bahawa sembahyang adalah kewajipan yang 
mesti ditunaikan oleh setiap orang mukallaf. Ia adalah rukun Islam yang 
paling penting selepas mengucap dua kalimah syahadat.  Orang  yang 
meninggalkan sembahyang adalah peruntuh dan perosak agamanya sendiri.
2) Tanamkan rasa cinta kasih kepada ‘ibadat sembahyang dengan 
merasakan betapa quddusnya ‘ibadat  ini, dan betapa pula besar faedah 
dan manfa’atnya kepada jasmani, rohani, kesihatan,  kebersihan zahir 
 dan batin; dan lagi betapa berkesannya sembahyang itu kiranya difahami 
benar-benar dalam pendidikan akhlak muslim dan muslimah agar berbudi 
pekerti mulia. Memang besar sekali sumbangan sembahyang kepada 
pembentukan masyarakat kerjasama, harmoni dan bersatu padu.
3) Tanamkan rasa bertuah, bangga dan mulia dengan ‘ibadat sembahyang
 kerana ia adalah satu penghormatan besar bagi si hamba yang hina lagi 
lemah kerana dibenar menghadap Tuhan yang Maha Besar lagi yang Maha 
Agung daripada segala yang agung.
4) Semaikan rasa penuh cinta kasih, ketaqwaan, keimanan dan 
kesyukuran kepada Allah yang Maha Esa, yang Maha Pemurah lagi yang Maha 
Pengasihani. Rasakan dalam hati betapa banyaknya budi baik Allah Ta’ala 
terhadap dirinya yang memang tidak dapat dibalas dan ditebus dengan apa 
juapun.
5) Ingatlah! Orang yang tidak bersembahyang terletak diantara kufur 
atau berdosa besar. Adakah kita rela berkeadaan demikian? Sudah pasti 
keadaan sedemikian tidak menjaminkan keselamatan diri dan agama. Maka 
kecelakaan dan nerakalah padahnya nanti, wal ‘iyazu billah.
6) Ingatlah pula! Bahawa orang yang tidak bersembahyang adalah 
manusia paling jahat dan paling keji. Dia adalah merupakan seorang yang 
tidak sedarkan diri, seorang yang tidak mengenang budi baik, lagi tidak 
bersyukur kepada Allah jalla wa ‘ala, pengurnia segala ni’mat. Tanyalah 
diri: “Mampukah agaknya menerima kemurkaan Allah yang Maha 
Agung sedangkan kemurkaan sesama manusia pun tidak terdaya?.
7) Ingatlah lagi! Orang yang enggan bersembahyang adalah seorang 
penderhaka kepada Tuhannya dan Penciptanya. Akibatnya nanti dia akan 
diseksa dengan ‘azab neraka; dan sebaliknya orang yang bersembahyang 
adalah seorang yang ta’at kepada Allah dan dia akan diberikan ganjaran 
syurga.
8) Perbanyakkan berdo’a dan bermohon kepada Allah Ta’ala pada setiap
 waktu untuk mendapat taufiq dan ‘inayahNya. Janganlah ditinggalkan 
membaca do’a yang dibaca oleh Nabi Ibrahim pada setiap kali berdo’a 
selepas sembahyang, azan, dan iqamat. Do’anya ialah:
رَبِّ ٱجۡعَلۡنِى مُقِيمَ ٱلصَّلَوٰةِ وَمِن ذُرِّيَّتِىۚ رَبَّنَا 
وَتَقَبَّلۡ دُعَآءِ (٤٠) رَبَّنَا ٱغۡفِرۡ لِى وَلِوَٲلِدَىَّ 
وَلِلۡمُؤۡمِنِينَ يَوۡمَ يَقُومُ ٱلۡحِسَابُ (٤١)   
Ertinya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan 
sembahyang . dandemikianlah juga zuriat keturunanku . Wahai Tuhan kami! 
Perkenankanlah do’a permohonanku . Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah 
keampunan kepadaku, dan kepada kedua ibu bapaku serta kepada orang-orang
 yang beriman pada hari berlakunya Hisab”.
Akhir kata: Dengan mengingati petua-petua tersebut tadi, dan juga 
mengetahui tentang kedudukan mulia dan kepentingan ‘ibadat sembahyang 
dalam Islam, dan lagi dengan memahami dan mengerti tentang hikmat-hikmat
 sembahyang, serta dengan adanya perasaan takut terhadap dosa dan seksa 
yang akan menimpa orang yang meninggalkan sembahyang; insya Allah dapat 
menolong dan mendorongkan seseorang menunaikan kewajipan sembahyang
والله الموفق
TEPUK DADA TANYA IMAN.
Rujukan: Fiqh Solat oleh Haji Engku Ali bin Engku Endut (Muhammad) al-‘Idrusi
Terbitan Syarikat Jaffar Rawas Sdn. Bhd.





