Saturday 12 May 2012

Akidah Ahlu Sunnah Wal Jamaah


Akidah Ahli Sunnah Wal Jam‘ah adalah akidah bagi semua umat Islam yang mengikut jejak langkah Rasulullahi sallallahu ‘alaihi wasallam yang mana baginda telah bersabda: Dua perkara yang akan aku tinggalkan kepada kamu sekalian jika kamu semua berpegang dengannya pasti tidak akan sesat selama-lamanya , iaitu Kitabullah (al Quran ) dan sunnahku (syariat dan akidah )”.

Kemunculan fahaman akidah yang pelbagai sejak akhir-akhir ini dari pelbagai tokoh-tokoh tertentu dengan ditambah lagi dengan buku-buku mereka yang bertebaran luas di pasaran dan disimpan di pustaka-pustaka pusat pengajian tinggi telah mengelirukan masyarakat, oleh itu adalah menjadi kewajipan untuk mempertahan kesucian agama ini dari dipesongkan oleh anasir-anasir yang jahat dan tidak faham dengan iktikad sebenar Ahlussunnah.

Ketahuilah wahai umat Islam sekalian bahawa Akidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang sebenar adalah mereka yang berpegang teguh dengan Manhaj al-Assyaairah dan al-Maturidiah.

Imam Faqih al-Murtaza az-Zabidi berkata dalam kitabnya 'Ithaf Saadatul Muttaqin Syarah Ihya' Ulumuddin' :"Apabila disebut Ahlussunnah Wal Jamaah yang dikehendaki di situ ialah pengikut mazhab (mazhab yang dimaksudkan disini ialah mazhab Akidah) Imam Abu Hassan al-Assyaari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi"

Manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah merangkumi ajaran-ajaran Islam iaitu akidah, syariah dan akhlak seperti yang dibawa dan dijelaskan oleh junjungan besar Nabi Muhammad, kemudian disambung penyebarannya oleh para sahabat, kemudian disusun secara bersistem oleh dua tokoh yang hebat iaitu Imam Abu Hasan al Asyari dan Imam Abu Mansur al Maturidi. Kemudian penyebaran sebegini diteruskan oleh para ilmuan Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti: al Hafiz Abu Bakar al Ismaili, al Hafiz al Baihaqi, al Hafiz Ibnu Hajar al Asqolani, seorang mujaddid pada kurun keempat Imam Abu Tayyib al Bahili, Imam Abu Bakar bin Furak, Imam Abu Bakar al Baqillani, Imam Abu Ishaq al Asfarayini, al Hafiz al Asfahani, Imam al Haromain al Juwaini, al Hafiz al Syirazi, al Hafiz al Khatib al Baghdadi, Al Hafiz al Subki, al Hafiz Ibnu al Jauzi, Imam al Murtadha al Zabidi, Sheikh Zaini Dahlan mufti Syafie di Makkah, Sheik al Azhar Abdullah al Syarqawi, Sheikh al Sanusi, Sheikh Alalawi bin Tahir al Haddad, al Hafiz Abdullah al Ghummari, al Hafiz Sayyid Alawi al Maliki al Makki, al Marhum al Muhaddis Sheikh Abdullah al Harari dan ramai lagi. Di kalangan ulamak Nusantara pula ialah sheikh Ibrahim al Banjari, sheikh Nawawi al Bentani, Sheikh Daud al Fattani, sheikh al Falembani, sheikh al Muhaddis Yasin al Fadani dan ramai lagi.

Maka kita faham di sini ialah mereka yang berada di landasan Ahlus Sunnah Wal Jamaah ialah daripada pengikut Imam Abu Hassan al-Asyaari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi kerana kedua-dua Imam tersebut telah bertalaqqi (menadah) ilmu akidah mereka daripada Imam mazhab empat, Imam Abu Hassan telah mengambil ilmunya daripada dua mazhab iaitu Maliki dan Syafie, manakala Imam Abu Mansur al-Maturidi pula telah mengambil ilmunya mazhab yang lain iaitu mazhab Imam Abu Hanifah. Imam Abu Hanifah mempunyai kitab-kitab yang akidah yang masyhur antaranya ialah kitab 'Fekhul Akbar', 'Fekhul Absat', 'Al-Aalim Wal Mutaallim' dan kitab'Al-wasiyyah'.

Kedua-dua Imam besar ini dan ulama yang datang selepas mereka telah menulis buku-buku untuk menolak dan mematikan fahaman golongan-golongan yang bid'ah dan sesat dengan menggunakan hujah yang kuat daripada al-Quran, sunnah dan juga akal. Imam Abu Hassan wafat pada tahun 324 hijrah manakala Imam Abu Mansur pula wafat pada tahun 333 hijrah iaitu selepas kewafatan Imam Abu Hassan dengan jarak yang hampir.

Ahlus Sunnah Wal Jamaah akhirnya dikenal dengan nama al-Asy’ariyyun (para pengikut imam Abu al-Hasan Asy’ari) dan al-Maturidiyyun (para pengikut imam Abu Mansur al-Maturidi). Sebenarnya jalan yang ditempuh oleh Imam Abu Hasan Assyaari dan Imam Abu Mansur a-Maturidi dalam asas akidah adalah sama dan satu.

Dengan itulah apabila ulama menyebut Mazhab Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang dimaksudkan oleh mereka ialah mazhab Imam Abu Hassan al-Asyaari dan mazhab Imam Abu Mansur al-Maturidi kerana mereka berdualah yang telah membawa Akidah yang sebenar seperti mana yang dibawa oleh sahabat Rasullullah, tabien dan golongan salaf. Golongan salaf yang dimaksudkan di sini ialah mereka yang hidup pada 3 kurun pertama selepas kewafatan nabi Sallallah Hualaihissalam seperti mana yang di tafsirkan oleh Ibnu Asakir.


Mereka berdua telah membawa akidah salaf yang mana Akidah yang tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu dan tidak menyamakan Allah dengan makhluk yang diciptanya inilah Akidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang dibina berdasarkan kepada ayat al-Quran surah As-Syura ayat yang ke 11:
ليس كمثله شئ وهو السميع البصير

Maksudnya: “Dia tidak menyerupai sesuatu pun dan Dia maha mendengar lagi maha melihat”.

Dan inilah Akidah Salafussoleh yang diambil oleh ulama khalafussoleh (ulama yang datang selepas golongan salafussoleh), dan inilah jalan yang di bawa oleh dua Imam tersebut untuk menegakkan Akidah yang sebenar, maka Akidah yang sebenar ialah Akidah dari mazhab Imam Abu Hasan Assyaari dan daripada Abu Mansur al-Maturidi yang mana mazhab ini telah diikuti oleh seluruh pelusuk umat islam di muka bumi ini atau yang pernah disebut oleh nabi dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abi Umamah sebagai Sawadul a'zom.

Begitulah serba ringkas yang dapat dijelaskan disini mengenai akidah yang sebenar iaitu akidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah semoga penerangan yang ringkas ini dapat menjelaskan dan menerangkan kekaburan yang ada serta menjadi pedoman kepada kita semua untuk mempertahankan Akidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah sepertimana yang dipertahankan oleh ulama-ulama terdahulu.


No comments: