Segala puji bagi Allah, tuhan
sekelian alam, semoga Allah menaikkan darjat Nabi Muhammad dan kebaikannya
serta para sahabat dan melindungi umatnya.
Imam Abu Hasan al Ash`ariyy adalah IMAM kepada Ahli Sunnah, seorang yang menentang dan mengalahkan ketua kumpulan
sesat dan memadamkan api dari bidaah-bidaah yang dilakukan mereka. Beliau
mempertahankan agama Allah dengan menggunakan manhaj Rasulullah. Beliau adalah
seorang yang sangat terkenal dan ulama terbilang sangat mahir dalam berhujah
dalam mempertahankan akidah Ahlu Sunnah. Dikenali sebagai Abul Hasan, Imam Al
Asha`riyy adalah putera kepada Ismail, anak kepada Abu Bishr Ishaq, anak kepada
Salim,anak kepada Ismail,anak kepada Abdullah, anak kepada Musa, anak kepada
Bilal, anak kepada Abu Burdah,anak kepada Abu Musa Abdullah,iaitu anak kepada Qays,anak
kepada Haddar,al Ashariyy,Al YAmaniyy. Gelaran "Al Ashariyy adalah
bersempena dengan nama keturunannya (Asha`irah) dan "Al Yamaniyy"
merujuk kepada tanah airnya ,Yaman.
Rasulullah SAW memuji kaum Ashai`rah lebih daripada
satu hadis. Baginda berkata tentang mereka: "Jika mereka berada di sesuatu
tempat dan sebahagian mereka kekurangan bekalan makanan, mereka akan duduk
bersama, mengumpulkan segala makanan yang mereka ada dan membahagikan secara
sama rata dikalangan mereka"
Dalam Surah
al-Ma’idah, Ayah 54, Allah berfirman:
يَا
أَيُّهَا الَّذِينَ ءاَمَنُوا مَنْ يَرْتَدَّ مِنْكُمْ عَنْ دِينِهِ فَسَوْفَ
يَأْتِي اللهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى المُؤْمِنِينَ
أَعِزَّةٍ عَلَى الكَافِرِينَ يُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللهِ وَلا يَخَافُونَ
لَوْمَةَ لائِمٍ ذَلِكَ فَضْلُ اللهِ يُؤْتِيهِ مَنْ يَشَاءُ وَاللهُ وَاسِعٌ
عَلِيمٌ
Mafhumnya: “Wahai orang-orang
yang beriman, barangsiapa di antara kamu yang murtad dari agamanya, Maka kelak
Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan merekapun
mencintaiNya, yang bersikap lemah Lembut terhadap orang yang mukmin, yang
bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad dijalan Allah, dan
yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah karunia Allah,
diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha luas
(pemberian-Nya), lagi Maha Mengetahui”.
[Surah al-Ma’idah, ayat 54].
Al-Hafiz Ibn ^Asakir meriwayatkan
dalam kitabnya Tabyin Kadhibil-Muftari dan al-Hakim meriwayatkan dalam kitabnya
al-Mustadrak sebab turun ayat di atas:
لما نزلت: {فسوف يأتي الله بقوم يحبهم
ويحبونه} قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: (هم قومك يا أبا موسى) وأومأ رسول
الله صلى الله عليه وسلم بيده إلى أبي موسى الأشعري. اهـ
Maksudnya: “Tatkala ayat {فسوف يأتي الله بقوم يحبهم ويحبونه} turun, lalu Rasulullah sallaLlahhu ^alayhi wa-sallam
bersabda: “Mereka kaummu wahai Abu Musa”, dan Rasulullah sallaLlahhu
^alayhi wa-sallam menunjukkan dengan tangan baginda kepada Abu Musa
al-Asha^ari”. Intaha.
Al-Hakim
menghukumkan hadis di atas sebagai hadis sahih ^ala shart Muslim. Hadis di atas
juga diriwayatkan oleh al-Tabari dalam kitab tafsirnya, Ibn Abi Hatim, Ibn Sa^d
dalam kitabnya al-Tabaqat al-Kubra dan al-Tabrani dalam kitab
al-Mu^jamul-Kabir. Al-Hafiz al-Haythami berkata dalam kitabnya Mujma^uz-Zawa’id
bahawa rijal hadis tersebut rijalus-sahih.
Al-Imam
al-Qurtubi berkata dalam kitab tafsirnya: “Al-Qushayri berkata: “Maka para
pengikut Abul-Hasan al-Ash^ari adalah sebahagian kaumnya kerana setiap tempat
yang disandarkan di dalamnya oleh suatu kaum kepada seseorang nabi maka
maksudnya ialah para pengikut”. Intaha.
Berkaitan
dengan hadis yang semakna dengan hadis di atas iaitu dengan lafaz (هم قوم هذا) yang mafhumnya: “Mereka adalah
kaum lelaki ini” sambil Nabi sallaLlahu ^alayhi wa-sallam mengisyarat
tangannya kepada Abu Musa al-Ash^ari, al-Hafiz Ibn ^Asakir berkata dalam
kitabnya Tabyin Kadhibil-Muftari: “Dan maklum dengan dalil-dalil akal dan
bukti-bukti usul bahawa seorang pun daripada anak-anak Abu Musa tidak ada yang
dapat menyanggah golongan sesat dan tidak ada yang dapat menolak kekeliruan
golongan bid^ah dan sesat dengan hujah-hujah yang ampuh daripada kitab al-Quran
dan al-Sunnah dan dengan dalil-dalil yang mantap daripada ijmak dan qiyas
melainkan al-Imam Abul-Hasan al-Ash^ari radiyaLlahu ^anhu. Maka beliau telah
berjihad melawan musuh-musuh kebenaran, menghentam mereka, memecahkan kata-kata
mereka dan menghancurkan kesatuan mereka dengan hujah-hujah akal yang ampuh dan
dalil-dalil sam^iyyah (al-Quran dan al-Sunnah) yang mantap”. Intaha.
Al-Hafiz Ibn ^Asakir menyebut di dalam
kitabnya Tabyin Kadhibil-Muftari bahawa al-Hafiz al-Bayhaqi berkata: “Dan itu
oleh kerana ada kelebihan yang besar dan kedudukan yang mulia al-Imam
Abul-Hasan al-Ash^ari radiyaLlahu ^unhu di dalamnya, maka beliau daripada
kalangan Abu Musa dan anak-anaknya yang dikurniakan ilmu dan dianugerahkan
kefahaman secara khusus daripada kalangan mereka dengan membela sunnah dan
menghentam bidaah dengan menzahirkan hujah dan menyanggah kekeliruan”. Intaha.
Al-Imam al-Bukhari menyebut satu judul bab dalam kitabnya Sahih al-Bukhari:
باب
قدوم الأشعريين وأهل اليمن وقال أبو موسى عن النبي صلى الله عليه وسلم هم منّي
وأنا منهم
Maksudnya:
“Bab Kedatangan al-Ash^ariyyun Dan Orang Yaman Dan Abu Musa Berkata Daripada
Nabi SallaLlahu ^Alayhi Wa-Sallam: “Mereka Daripadaku Dan Aku Daripada
Mereka””.
Tatkala
ayat di atas diturunkan lalu sebaik sahaja selepas itu beberapa puak daripada kalangan
al-Ash^ariyyun dan beberapa qabilah Yaman muncul. Sebenarnya al-Imam al-Bukhari
telahpun meriwayatkan dalam kitabnya Sahih al-Bukhari daripada Abu Hurayrah
radiyaLlahu ^anhu daripada Nabi sallaLlahu ^alayhi wa-sallam bersabda:
أتاكم أهل اليمن هم أرقّ أفئدةً وألين
قلوبًا الإيمان يمان والحكمة يمانية
Mafhumnya: “Orang Yaman telah
datang kepada kamu, mereka amat halus jiwa dan sangat lembut hatinya. Iman
adalah Yaman dan hikmah adalah Yamaniyyah”.
Al-Imam
al-Bukhari telah meriwayatkan dalam kitabnya Sahih al-Bukhari daripada ^Imran
ibn al-Hasin bahawa Nabi telah didatangi oleh segolongan manusia daripada
kalangan Bani Tamim, lalu baginda bersabda: (اقبلوا البشرى يا بني تميم) mafhumnya: “Terimalah berita
gembira wahai bani Tamim!”. Kemudian, mereka berkata: “Engkau telah memberi
berita gembira kepada kami, maka berikanlah kepada kami (habuan dunia) dua
kali", lalu wajah baginda berubah - kerana dukacita ke atas mereka
bagaimana mereka mengutamakan dunia -. Kemudian, baginda didatangi segolongan
manusia daripada kalangan orang Yaman, lalu baginda bersabda: (يا أهل اليمن اقبلوا البشرى إذ لم
يقبلها بنو تميم) mafhumnya: “Wahai orang Yaman!
Terimalah berita gembIra kerana Bani Tamim belum menerimanya”. Kemudian,
mereka berkata: “Sesungguhnya kami telah terima wahai RasulaLlah, kami datang
kepadamu agar kami dapat mendalami agama dan supaya kami bertanya kepadamu
tentang perkara yang pertama yang wujud", lalu baginda bersabda: (كان الله ولم يكن شيء غيره...) mafhumnya: “Allah ada (azali) dan sesuatu selain-Nya
belum ada…”. Maksud hadis ini ialah Allah ada azali, dan suatu tempat pun
tidak ada, suatu masa pun tidak ada, suatu arah pun tidak ada, suatu arasy pun
tidak ada, suatu langit pun tidak ada, suatu benda pun tidak ada, gerakan pun
tidak ada, suatu diam pun tidak ada, suatu gelap pun tidak ada, suatu cahaya pun
tidak ada, suatu makhluk pun tidak ada, kemudian Allah mencipta tempat, masa,
arah, arasy dan sekalian makhluk. Selepas penciptaan makhluk Allah sentiasa
sebagaimana azali, iaitu Dia ada tanpa bagaimana, tanpa suatu tempat dan tanpa
suatu arah.
Aqidah
inilah yang dipelajari dan diajar oleh ratusan juta orang daripada kalangan
orang Islam sama ada salaf dan khalaf di timur dan di barat, Hal ini disaksikan
oleh realiti yang dapat dilihat dan disaksikan oleh pancaindera. Sudah cukup
bagi menerang hakikat ini ialah keadaan para sahabat, tabi^in, para
atba^ut-tabi^in (as-salafus-salih), sesiapa sahaja yang mengikut mereka
dengan ihsan di atas aqidah ini. Antara yang mengikut mereka dengan ihsan
ialah para ulama al-Ash^ariyyun atau disebut al-Asha^irah yang terdiri daripada
kalangan ulama ahli hadis, ulama ahli kalam, ulama ahli tafsir, ulama ahli
sufi, ulama ahli bahasa, ulama ahli sejarah, ulama ahli fiqh, ulama ahli
tajdid, dan juga daripada kalangan pemerintah atau sultan. Mereka amat berjasa
dalam menyebarkan Islam ke seluruh dunia termasuk rantau Nusantara ini. Bahkan,
ilmu-ilmu Islam yang sampai kepada kita pada hari ini kebanyakannya adalah
hasil jasa dan budi mereka dari kalangan para ulama al-Asha^irah. Oleh itu,
kebanyakan ilmu Islam pada hari ini adalah melalui sanad ulama al-Asha^irah.
Barangsiapa yang cuba menyisihkan ulama al-Asha^irah dari al-Firqatun-Najiyah
(golongan selamat) Ahlis-Sunnah wal-Jama^ah, maka dia telah mencampakkan susur
galur ilmu Islam. Hal ini akan menyebabkan generasi yang mendatang akan meragui
dan mempertikaikan kesahihan ilmu Islam termasuk al-Quran dan al-Sunnah…
Seterusnya generasi yang terkemudian akan melaknat generasi yang terdahulu.
Al-Hafiz
Ibn ^Asakir telah meriwayatkan dalam kitab Tabyin Kadhibil-Muftari daripada
Jabir, dia berkata: RasuluLlah sallaLlhu ^alayhi wa-sallam bersabda:
إذا لَعَنَ آخِرُ هذه الأُمَّةِ
أَوَّلَهَا فَمَن كَانَ عِندَهُ عِلْمٌ فَلْيُظْهِرْهُ فَإِنَّ كَاتِمَ الْعِلْمِ
يَوْمَئِذٍ كَكَاتِمِ مَا أُنزِلَ عَلَى مُحَمَّدٍ
Mafhumnya: “Apabila orang yang
terkemudian daripada kalangan umat ini melaknat orang yang awal mereka, maka
sesiapa yang ada ilmu hendaklah menzahirkan (iaitu membuktikan penyelewengan
pelaknat dan kebenaran orang dilaknat) kerana sesungguhnya orang yang
menyembunyikan ilmu ketika itu seperti orang menyembunyikan wahyu yang telah
diturunkan ke atas Nabi Muhammad”. [Lafaz hadis di atas menurut riwayat
al-Hafiz Ibn ^Asakir daripada al-Sulami].
No comments:
Post a Comment