Imam al-Baghdadi mensyarahkan pandangan Ahlussunnah
dalam mentauhidkan sifat Allah SWT: “Mereka ijmak bahawa tempat tidak
meliputiNya (Allah SWT tidak bertempat) dan masa tidak mengikatnya, berbeza
dengan firqah al-Hasyamiah dan al-Karamiah, yang mengatakan Allah memegang
arasynya”. (Lihat Al-Baghdadi, al-Farq Baina al-Firaq, hal.256).
Bagi pembaca-pembaca yang berupaya
membaca bahasa Arab, boleh merujuk terus kepada kitab Imam ini. Imam
al-Baghdadi Rahimahullah menyatakan (hal.19):
"Maka golongan yang ke 73 ialah
Ahli Sunnah Wal Jamaah iaitu golongan ahl al-ra'y (Abu Hanifah dan
murid-muridnya) dan ahlu al-hadis; bukan mereka yang mempermain-mainkan hadis;
dan ulama fekah mereka, penghafal al-Quran mereka, perawi hadis dari mereka,
dan ulama hadis di kalangan mereka, semuanya sepakat atas keesaan pencipta,
keesaan sifat-sifatNya, keadilanNya, hikmahNya, dan nama-namaNya dan pada bab
kenabian dan kepimpinan, hukum hudud, dan pada perkara usuluddin."
Seterusnya, Imam al-Baghdadi
Rahimahullah memperincikan LAPAN (8) golongan
yang termasuk dalam Ahlusunnah wal Jamaah (lihat bukunya dari halaman 240-243):
• Golongan
pertama, mereka yang menguasai ilmu khususnya dalam bab Tauhid
(meng-esa-kan Allah) dan kenabian, hukum-hukum wa'ad (khabar gembira) dan wa'id
(ancaman siksa), pahala dan balasan, syarat-syarat ijtihad, pemerintahan dan
kepimpinan. Mereka yang melalui jalan ini ialah ulama Kalam (Tauhid) yang bebas
dari fahaman tasybih (menyerupakan sifat Allah dengan makhluk) dan bebas dari
fahaman ta'til (yang menafikan sifat-sifat yang Azali bagi Allah SWT)), dan
bebas dari bidaah al-Rafidhah, Khawarij, Jahmiah, Najariah dan seluruh pengikut
bidaah dan hawa nafsu.
• Golongan
kedua ialah imam-imam fiqh samada kumpulan yang cenderung pada rakyun
(dalil aqal) atau hadith. Iaitu mereka yang beriktikad (berkeyakinan) pada
perkara usuluddin dengan mazhab-mazhab sifat pada Allah dan pada sifat-sifatnya
yang azali (membicarakan sifat-sifat Allah SWT sebagaimana sifat 20), dan
mereka bebas dari fahaman Qadariah dan Muktazilah; mereka menetapkan melihat
Allah Taala dengan mata (di akhirat kelak) dengan mata tanpa tasybih
(menyerupakan Allah dengan makhluk), tanpa ta'til' (menafikan sifat-sifat
Allah). Termasuk dalam golongan ini ialah murid-murid kepada Malik, al-Shafie,
al-Auza'i, al-Thauri, Abu hanifah, Ibn Abu Laila (wafat148H), sahabat-sahabat
Abu Thaur (wafat240H), sahabat-sahabat Ahmad bin Hanbal (wafat241H), ahli
al-Zahir, keseluruhan ulama fiqh yang beriktikad dalam bab-bab akal ini dengan
prinsip-prinsip Sifat (tauhid yang membahaskan Sifat-sifat Allah). Dan mereka
tidak mencampurkannya dengan apa-apa dari ahli bidaah dan hawa nafsu.
• Golongan
ketiga ialah mereka yang menguasai ilmu-ilmu yang berkaitan dengan
periwayatan hadith dan sunnnah yang disampaikan oleh Nabi SAW, mereka berupaya
membezakan antara sahih dan cacat antaranya, mengetahui sebab-sebab 'al-jarh wa
al-ta'dil' (kredibiliti seorang rawi), dan mereka tidak memasukkan ilmu mereka
dengan apa-apa dari ahli bidaah dan nafsu yang menyesatkan.
• Golongan
ke empat ialah kaum yang menguasai kebanyakan topik-topik sastera Arab,
nahu dan saraf. Mereka berada atas jalan pakar bahasa seperti al-Khalil
(wafat175H), Abu 'Amr bin al-'Ala` (wafat 145), Sibawaih (wafat 180H),
al-Farra' (wafat 207H), al-Akhfash (wafat 215H), al-Asma'i, al-Mazini (wafat
236H), Abu Ubaid (wafat 224H) dan seluruh imam-imam Nahu samada ulama-ulama
Kufah atau Basrah, yang mana mereka tidak mencampurkan ilmu mereka dengan
sesuatu dari bidaah al-Qadariah, atau Rafidhah atau Khawarij. Maka sekiranya seseorang
itu cenderung ke arah nafsu yang menyesatkan, maka bukanlah ia dari golongan
Ahlussunnah walaupun kata-katanya adalah 'hujah' dalam ilmu bahasa dan Nahu.
• Golongan
ke lima, antaranya ialah mereka yang menguasai ilmu yang berkaitan
dengan jenis-jenis qiraat untuk al-Quran, dan jenis-jenis tafsiran al-Quran,
penakwilannya berdasarkan mazhab-mazhab Ahlussunnah, tanpa berpegang dengan takwilan
ahli nafsu yang sesat.
• Golongan
ke enam ialah, antaranya ialah para ahli zuhud sufi yang mempunyai ilmu
maka jauh pandangan, yang telah dinilai maka ia diiktibarkan, mereka redha
dengan hidup yang ringkas, mereka mengatahui bahawa penglihatan, pendengaran
dan hati dipertanggungjawabkan terhadap kebaikan dan kejahatan; menghisab
dengan neraca zarah-zarah, justeru menyediakan diri mereka dengan sebaik-baik
perisapan untuk hari Kiamat. Perkataan mereka berjalan di atas dua jalan iaitu
secara jelas dan isyarat di atas jalan ahli hadis, tanpa mereka 'membeli'
pandangan yang mempermainkan hadis. Mereka tidak melakukan kebaikan kerana
riak, tidak pula meninggalkan kebaikan kerana malu kepada orang lain. Agama
mereka hanya satu dan menafikan 'pentasybihan' (menyerupakan Allah dengan
makhluk), mazhab mereka ialah tafwidh (menyerahkannya) kepada Allah SWT,
bertawakkal kepadanya, penyerahan kepada-Nya, tenang dengan apa yang
direzekikan-Nya.
• Golongan
ke tujuh ialah, antaranya kaum yang terikat dengan barisan hadapan
peperangan dengan orang-orang kafir, berjihad melawan musuh-musuh Islam, mereka
menjadi benteng melindungi umat Islam, meninggalkan isteri-isteri mereka dan
negara mereka, dan menzahirkan pada barisan hadapan mereka Mazhab ASWJ.
• Golongan
ke lapan ialah, antaranya kebanyakan negara-negara yang secara
kebiasaannya terdapat syiar ASWJ, bukannya negara yang menzahirkan syiar ahli
hawa-nafsu yang sesat.
Itulah
huraian sebenar al-Imam Abdul Qahir bin Tohir bin Muhammad al-Baghdadi
(wafat429H). Rupanya ramai sebenarnya yang diiktiraf sebagai Ahlussunnah. Ia
berbeza dengan pandangan yang meminoritikan dan mengekslusifkan ASWJ hanya
untuk golongannya sahaja dengan tuduhan sesat dan bidaah pada perkara
remeh-temeh seperti qunut, talqin, zikir selepas solat, berdoa beramai-ramai
dan sebagainya. Lihat kata Imam al-Baghdadi tentang perkara-perkara cabang
(hal. 19):
"Mereka
(ASWJ) hanya khilaf mengenai halal dan haram pada cabang hukum, bukanlah khilaf
tersebut mengundang kepada sesat dan fasik; mereka adalah puak yang terselamat,
kerana mereka bersatu pada keesaan pencipta dan qidamNya, qidam segala sifatnya
sejak azali, dan harus melihatNya tanpa sebarang perumpamaan dan gangguan,
serta yakin terhadap isi kandungan kitabNya dan rasulNya, dan mengikut segala
syariat islam, dan menghalalkan segala yang dihalalkan oleh Al-Quran, dan
mengharamkan segala yang diharam oleh Al-Quran, serta menerima apa yang dibawa
oleh Rasulullah SAW dan beriman pada hari kebangkitan dan perhitungan, dan soal
dua Malaikat dalam kubur, beriman dengan telaga Kauthar dan Timbangan".
Semoga masyarakat Islam tidak terbelenggu dengan
perpecahan yang lebih parah lantaran perkara-perkara tersebut. Banyak masa yang
perlu digunakan untuk memperbetulkan generasi muda yang menyongsang arus dengan
pelbagai gejala sosial. Wallahu a'lam.
No comments:
Post a Comment