Sebagai ikhtiar, agar kita sentiasa mahu menunaikan sembahyang, maka
petua-petua berikut hendaklah sentiasa diingati dalam hati sanubari,
insyaAllah dengan pertolongan, taufiq dan hidayah Allah kita akan
tergolong daripada kalangan orang yang cinta mengerjakan sembahyang.
Di antara petua-petua itu ialah:
1) Semaikan kesedaran diri bahawa sembahyang adalah kewajipan yang
mesti ditunaikan oleh setiap orang mukallaf. Ia adalah rukun Islam yang
paling penting selepas mengucap dua kalimah syahadat. Orang yang
meninggalkan sembahyang adalah peruntuh dan perosak agamanya sendiri.
2) Tanamkan rasa cinta kasih kepada ‘ibadat sembahyang dengan
merasakan betapa quddusnya ‘ibadat ini, dan betapa pula besar faedah
dan manfa’atnya kepada jasmani, rohani, kesihatan, kebersihan zahir
dan batin; dan lagi betapa berkesannya sembahyang itu kiranya difahami
benar-benar dalam pendidikan akhlak muslim dan muslimah agar berbudi
pekerti mulia. Memang besar sekali sumbangan sembahyang kepada
pembentukan masyarakat kerjasama, harmoni dan bersatu padu.
3) Tanamkan rasa bertuah, bangga dan mulia dengan ‘ibadat sembahyang
kerana ia adalah satu penghormatan besar bagi si hamba yang hina lagi
lemah kerana dibenar menghadap Tuhan yang Maha Besar lagi yang Maha
Agung daripada segala yang agung.
4) Semaikan rasa penuh cinta kasih, ketaqwaan, keimanan dan
kesyukuran kepada Allah yang Maha Esa, yang Maha Pemurah lagi yang Maha
Pengasihani. Rasakan dalam hati betapa banyaknya budi baik Allah Ta’ala
terhadap dirinya yang memang tidak dapat dibalas dan ditebus dengan apa
juapun.
5) Ingatlah! Orang yang tidak bersembahyang terletak diantara kufur
atau berdosa besar. Adakah kita rela berkeadaan demikian? Sudah pasti
keadaan sedemikian tidak menjaminkan keselamatan diri dan agama. Maka
kecelakaan dan nerakalah padahnya nanti, wal ‘iyazu billah.
6) Ingatlah pula! Bahawa orang yang tidak bersembahyang adalah
manusia paling jahat dan paling keji. Dia adalah merupakan seorang yang
tidak sedarkan diri, seorang yang tidak mengenang budi baik, lagi tidak
bersyukur kepada Allah jalla wa ‘ala, pengurnia segala ni’mat. Tanyalah
diri: “Mampukah agaknya menerima kemurkaan Allah yang Maha
Agung sedangkan kemurkaan sesama manusia pun tidak terdaya?.
7) Ingatlah lagi! Orang yang enggan bersembahyang adalah seorang
penderhaka kepada Tuhannya dan Penciptanya. Akibatnya nanti dia akan
diseksa dengan ‘azab neraka; dan sebaliknya orang yang bersembahyang
adalah seorang yang ta’at kepada Allah dan dia akan diberikan ganjaran
syurga.
8) Perbanyakkan berdo’a dan bermohon kepada Allah Ta’ala pada setiap
waktu untuk mendapat taufiq dan ‘inayahNya. Janganlah ditinggalkan
membaca do’a yang dibaca oleh Nabi Ibrahim pada setiap kali berdo’a
selepas sembahyang, azan, dan iqamat. Do’anya ialah:
رَبِّ ٱجۡعَلۡنِى مُقِيمَ ٱلصَّلَوٰةِ وَمِن ذُرِّيَّتِىۚ رَبَّنَا
وَتَقَبَّلۡ دُعَآءِ (٤٠) رَبَّنَا ٱغۡفِرۡ لِى وَلِوَٲلِدَىَّ
وَلِلۡمُؤۡمِنِينَ يَوۡمَ يَقُومُ ٱلۡحِسَابُ (٤١)
Ertinya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan
sembahyang . dandemikianlah juga zuriat keturunanku . Wahai Tuhan kami!
Perkenankanlah do’a permohonanku . Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah
keampunan kepadaku, dan kepada kedua ibu bapaku serta kepada orang-orang
yang beriman pada hari berlakunya Hisab”.
Akhir kata: Dengan mengingati petua-petua tersebut tadi, dan juga
mengetahui tentang kedudukan mulia dan kepentingan ‘ibadat sembahyang
dalam Islam, dan lagi dengan memahami dan mengerti tentang hikmat-hikmat
sembahyang, serta dengan adanya perasaan takut terhadap dosa dan seksa
yang akan menimpa orang yang meninggalkan sembahyang; insya Allah dapat
menolong dan mendorongkan seseorang menunaikan kewajipan sembahyang
والله الموفق
TEPUK DADA TANYA IMAN.
Rujukan: Fiqh Solat oleh Haji Engku Ali bin Engku Endut (Muhammad) al-‘Idrusi
Terbitan Syarikat Jaffar Rawas Sdn. Bhd.